UNISSA anjur Program Ziarah Mahabbah II

UNISSA anjur Program Ziarah Mahabbah II

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 29 Mei – Bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan 1437 Hijrah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) telah mengadakan satu Program berkebajikan iaitu program Ziarah Mahabbah II selama dua hari bermula pada 28 dan 29 Mei bertempat di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Mukim Kiudang.

Penyerahan bantuan kepada keluarga terpilih adalah acara kemuncak bagi program itu petang tadi di dewan masjid berkenaan. Penyerahan sumbangan tersebut adalah berupa Tafsir Al-Quran dan sejadah, wang tunai serta barang keperluan seperti makanan dan minuman bagi persediaan bulan Ramadan.

Hadir menyerahkan bantuan tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal juga selaku tetamu kehormat di majlis itu.

Program itu merupakan kali kedua diadakan oleh FEKIm pada tahun ini. Pada tahun lalu program tersebut telah diadakan di Kampung Kuala Tutong.

Rektor UNISSA menyerahkan sumbangan kepada keluarga yang terpilih di Mukim Kiudang, Tutong.
Rektor UNISSA menyerahkan sumbangan kepada keluarga yang terpilih di Mukim Kiudang, Tutong.
Sesi bergambar ramai bersama para program tersebut.
Sesi bergambar ramai bersama para program tersebut.

Program pada kali ini mensasarkan tujuh buah rumah di mukim berkenaan yang meliputi Kampung Birau, Kampung Pad Nunok, Kampung Mungkom, Kampung Kiudang, Kampung Batang Mitos dan Kampung Bakiau.

Dengan bertemakan ‘Belia Pemedulian Modal Insan Berwawasan’, ia melibatkan seramai 57 orang mahasiswa-mahasiswi tahun satu dan tiga FEKIm yang mana telah dipengerusikan oleh mahasiswa tahun tiga, Awang Shah Isra Firdaus bin Haji Ismail.

Antara tujuan program ini dijalankan ialah agar para peserta program dapat menunjukkan ‘qudwah hassanah’ atau teladan yang baik kepada generasi pelapis supaya lebih peka dengan kehidupan masyarakat. Ia juga dapat merealisasikan semangat keprihatinan peserta program terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

FEKIm juga berhasrat bahawa program tersebut akan diteruskan di tahun berikutnya dan akan melaratkan ke kawasan lain. Kerjasama dan sokongan semua pihak dalam menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan sangat diperlukan agar tujuan dan hasrat murni dapat dicapai dengan jayanya disamping mendapat reda dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

ARTIKEL YANG SAMA