UNISSA anjur taklimat kerjaya ‘Temu duga’

UNISSA anjur taklimat kerjaya ‘Temu duga’

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Unit Perkhidmatan Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, semalam, telah mengadakan taklimat kerjaya ‘Temu duga’ yang dikhususkan bagi bakal graduannya yang akan menceburi bidang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Menurut kenyataan UNISSA, antara objektif taklimat tahunan yang berlangsung di Auditorium UNISSA itu adalah sebagai persiapan dan pendedahan kepada bakal graduan mengenai cara untuk memohon pekerjaan dan menghadiri temu duga, serta mengongsikan tip-tip apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas menghadiri temu duga.

Selain itu, ia juga diadakan untuk membantu menambah sumber pendapatan dengan memahami lebih mendalam mengenai bidang keusahawanan.

Dalam taklimat itu, Dayang Norhazirah bin Haji Ismail dari Bahagian Pengambilan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah mengongsikan mengenai jenis iklan yang sesuai dipohon oleh para graduan iaitu iklan 7(a).

Selain itu, perkara yang perlu diambil berat semasa memohon jawatan kosong seperti memastikan tarikh tutup iklan yang dipohon dan perkara yang perlu dilakukan sebelum temu duga iaitu membuat penyelidikan terlebih dahulu mengenai jawatan yang dipohon sebelum masuk menduduki temu duga.

Dekan Pelajar menyampaikan cenderahati kepada Haji Syed Yassin.
Dekan Pelajar menyampaikan cenderahati kepada Haji Syed Yassin.
Antara yang menghadiri taklimat kerjaya ‘Temu duga’ UNISSA.
Antara yang menghadiri taklimat kerjaya ‘Temu duga’ UNISSA.

Wakil dari Jabatan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Awang Mohd Shami bin Halim Shah pula menekankan kepada bakal graduan UNISSA untuk tidak terlalu bergantung kepada pihak kerajaan kerana saingan untuk mendapatkan pekerjaan di pihak kerajaan adalah amat sengit.

Seterusnya, Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UNISSA, Haji Mohammad Syazwan Nizar bin Haji Mat Zain turut mengongsikan pengalaman beliau yang menurutnya sebelum bekerja dengan pihak kerajaan, beliau menimba ilmu dan pengelaman dengan bekerja di sektor swasta.

Semasa temu duga bagi jawatan kerja kerajaan, pengalaman bekerja beliau inilah yang banyak membantu dan mencerahkan lagi peluang beliau diambil untuk bekerja dengan pihak kerajaan.

Selain itu, sepanjang tempoh mencari pekerjaan, beliau mengamalkan solat Sunat Hajat setiap malam dan solat Sunat Duha setiap pagi untuk membuka pintu rezeki beliau.

Turut mengongsikan pengalaman dan pengetahuan ialah Pengasas Battle Pro Group, Haji Syed Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, yang mana beliau mengajak para belia termasuk bakal graduan untuk berdikari tanpa mengharapkan pihak kerajaan dalam mencari mata pencarian dengan membuka perniagaan sendiri.

Antara tip yang dikongsikan oleh beliau untuk memulakan perniagaan, mulakan dengan apa yang kita ada seperti ilmu, kemahiran dan model seadanya.

Ini kerana beliau sangat berpegang kepada pepatah ‘Man Jadda, Wa Jadda’ ertinya sesiapa yang berusaha (Insya-Allah) akan mendapat apa yang diusahakannya.

Sesi taklimat diakhiri penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan serta bacaan Surah Al-Asr beramai-ramai.

ARTIKEL YANG SAMA