UNISSA berper...

UNISSA berperanan lengkapkan diri para pelajar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) perlu memainkan peranan penting dalam memastikan para graduan yang dihasilkan benar-benar dilengkapi dengan pengetahuan agama yang betul dan mantap serta mampu menjadi benteng kukuh terhadap segala anasir yang tidak selaras dengan ajaran agama Islam yang diamalkan di negara ini.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun ke-10 Penubuhan UNISSA yang berlangsung di Dewan Auditorium, universiti berkenaan, pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin menambah bahawa dalam hal ini, UNISSA hendaklah memastikan persekitaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan di UNISSA tidak dicalar, diprovokasi dan dipengaruhi atau dicemari oleh pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.

UNISSA juga perlu memastikan para pelajarnya akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam falsafah negara Melayu Islam Beraja dalam setiap tindak-tanduk mereka.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menasihatkan para pelajar UNISSA agar memanfaatkan sepenuhnya peluang mengikuti pengajian di UNISSA dan mereka perlu sedar bahawa dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, mereka perlu sentiasa berusaha melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

“Oleh sebab itu, saya menyarankan UNISSA supaya sentiasa mengambil kira kadar pengangguran para graduan dan peluang pekerjaan yang sangat kompetitif di negara ini. Perkara ini sering kali telah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Baginda menyarankan agar UNISSA dan juga institusi-institusi pengajian tinggi yang lain di negara ini supaya memastikan program yang ditawarkan itu sentiasa relevan dan berkualiti untuk menghasilkan para graduan yang marketable dan future ready,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin berasa optimis terhadap hala tuju dan perancangan UNISSA terutama dalam usaha menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Halal dalam masa yang terdekat ini.

Yang Berhormat Pehin juga berharap agar pusat itu akan menjadi pemangkin hasrat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai ‘hab halal global’ dan membuka ruang lebih luas terhadap pasaran halal di peringkat antarabangsa.

“UNISSA juga perlu meneroka lebih jauh lagi bidang-bidang baru yang berkaitan dengan pembangunan dan keperluan semasa negara. Usaha-usaha yang sedemikian itu adalah perlu dirancang dengan rapi bagi memastikan para graduan UNISSA menjadi generasi mapan dan mampu merealisasikan Wawasan Negara 2035.”

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik (SPTA) yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada bulan April 2014 yang lalu itu adalah untuk memastikan para tenaga akademik di UNISSA dan institusi pengajian tinggi lain di negara ini dapat mencapai kualiti tenaga akademik yang mampu mempertingkat kualiti akademik, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat.

Yang Berhormat Pehin menyarankan agar para tenaga akademik khususnya yang belum memenuhi syarat untuk berpindah ke SPTA atas sebab-sebab kelayakan akademik atau sebab-sebab tertentu, hendaklah berusaha lebih gigih untuk mempertingkatkan pencapaian masing-masing.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan Pengajaran kepada Dr. Lily Suzana binti Shamsu.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan Pengajaran kepada Dr. Lily Suzana binti Shamsu.
Yang Berhormat Pehin semasa menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan Pengajaran kepada Dr. Hajah Sarinah binti Haji Yahya.
Yang Berhormat Pehin semasa menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan Pengajaran kepada Dr. Hajah Sarinah binti Haji Yahya.

“Perkara ini adalah penting dan relevan bukan setakat untuk kepentingan diri sendiri, tetapi juga adalah untuk kepentingan ummah dan negara untuk memiliki para bijak pandai yang memangkin kepada perkembangan ilmu pengetahuan yang berkualiti tinggi.”

Malah dalam masa yang sama, akan dapat menaikkan lagi nama dan reputasi UNISSA sebagai institusi pengajian tinggi Islam yang disegani di persada antarabangsa.

Yang Berhormat Pehin kemudian menyeru agar usaha berkebajikan dalam menyampaikan khidmat kepada masyarakat terutama dalam menyampaikan ceramah ugama, kuliah masjid serta kesedaran dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan haruslah diteruskan dan ditingkatkan lagi dalam sama-sama memastikan kehidupan masyarakat yang harmoni dan memastikan ajaran Islam yang disampaikan di negara ini adalah betul dan selaras dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah.

Yang Berhormat Pehin turut menyeru agar UNISSA mengambil perhatian yang serius terhadap saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya UNISSA memantapkan profil penyelidikannya bagi memastikan UNISSA dapat menggabungkan diri dalam kelompok universiti Islam ternama di dunia.

Dalam masa yang sama, UNISSA juga perlu menjalankan penyelidikan yang memberi impak sangat besar kepada masyarakat setempat seperti isu-isu sosial merangkumi isu keruntuhan akhlak, penyalahgunaan dadah, ekonomi dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, hasilnya nanti boleh dijadikan rujukan dalam membantu pihak kerajaan dan agensi tertentu untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA