UNISSA diiktiraf menjadi Ahli Majlis Pelaksana IUL

UNISSA diiktiraf menjadi Ahli Majlis Pelaksana IUL

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini menerima sijil pelantikan keanggotaan menjadi Ahli Majlis Pelaksana Rabithah al-Jami’at al-Islamiyyah (IUL), Republik Arab Mesir.

Sijil tersebut diserahkan oleh Dekan Fakulti Kemanusiaan, Universiti Al-Azhar, Profesor Dr. Nabil Mohammed Tawfik kepada Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa kunjungannya ke universiti itu di sini.

Sijil pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan bahawa UNISSA mempunyai kedudukan yang setanding dengan universiti Islam di peringkat antarabangsa dan akan bekerjasama dengan pihak IUL dalam merancang program-program ilmiah dan ketamadunan Islam.

Profesor Dr. Nabil Mohammed Tawfik membuat kunjungan ke UNISSA sebagai kesinambungan kunjungan lawatan Rektor UNISSA ke Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir pada bulan Mei yang lalu. Beliau diiringi oleh Pegawai Perhubungan IUL, Waleed Abdel Monem El Said Ibrahim.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA di sini, kunjungan tersebut antara lain bertujuan untuk berbincang dengan pihak UNISSA dalam merangka program seminar antarabangsa yang akan diadakan nanti. Seminar antarabangsa itu akan menampilkan para ilmuan Islam dari seluruh pelosok universiti Islam dan akan dapat meningkatkan lagi reputasi UNISSA di persada dunia sebagai universiti Islam yang unggul.

Dr. Haji Norarfan menerima sijil pelantikan sebagai Ahli Majlis Pelaksana Rabithah al-Jami’at al-Islamiah daripada Profesor Dr. Nabil Mohammed Tawfik.
Dr. Haji Norarfan menerima sijil pelantikan sebagai Ahli Majlis Pelaksana Rabithah al-Jami’at al-Islamiah daripada Profesor Dr. Nabil Mohammed Tawfik.

Dalam pada itu, Profesor Dr. Nabil Mohammed Tawfik dalam sesi taklimat menyatakan IUL akan sentiasa memainkan peranan dan berusaha untuk berkhidmat kepada kemajuan Islam dalam semua aspek, terutama dalam menangani isu-isu pendidikan, pengajian, penyelidikan dan sebagainya berdasarkan ilmu, iman dan takwa.

Salah satu aktiviti dalam program kunjungan tersebut adalah ceramah umum yang disampaikan oleh Profesor Dr. Nabil Mohammed Tawfik bertajuk ‘Islam and Sociology’. Perbahasan yang disentuh adalah bidang sosiologi dan sejarah pembangunan dunia barat dan dunia Islam.

Beliau juga menjelaskan bahawa sosiologi dan Islam berkait rapat sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran dan As Sunnah.

Ceramah umum ini telah dihadiri oleh Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor, Dr. Arman bin Haji Asmad dan para pensyarah UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA