UNISSA diterima jadi anggota AUN-QA

UNISSA diterima jadi anggota AUN-QA

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) secara rasminya diterima menjadi anggota Rangkaian Jaminan Kualiti Universiti ASEAN (ASEAN University Network-Quality Assurance – AUN-QA) pada 4 April 2016, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA hari ini.

AUN ditubuhkan pada tahun 1995 bagi mengukuhkan jaringan yang sedia ada antara universiti di rantau ASEAN dan luar ASEAN.

Antara objektifnya ialah mempromosi kolaborasi kajian, penyelidikan, dan program-program pengajian dengan mengambil kira kepentingan komuniti ASEAN, memperkasa kerjasama serta solidariti dalam kalangan ahli akademik, tenaga pakar, pengkaji di negara-negara ASEAN di samping sebagai badan yang menjadi penggubal dasar dalam pengajian tinggi rantau ASEAN.

p02-1_20160407

Sementara itu, AUN-QA merupakan antara kegiatan penting dalam AUN yang bertujuan untuk memantau dan menilai kualiti program-program akademik yang ditawarkan oleh ahli-ahli AUN.

Justeru keanggotaan UNISSA dalam usianya mencecah satu dekad penubuhan adalah sangat signifikan, di samping menjadi mercu tanda bahawa UNISSA sangat tekun untuk mengembang majukan kredibilitinya dalam mengangkat program akademik serta memperkasa iklim penyelidikan di kalangan warganya setanding universiti berprestij di rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA