UNISSA hadiri seminar SeIPTI di Indonesia

UNISSA hadiri seminar SeIPTI di Indonesia

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Rombongan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menghadiri Seminar Institut Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI) yang berlangsung di Universiti Darussalam Gontor, Ponorogo, Indonesia.

Rombongan terdiri daripada Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Dekan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani serta tujuh orang pembentang yang terdiri daripada tenaga akademik UNISSA.

Seminar bertema ‘Integration of Contemporary and Islamic Knowledge in Islamic Universities’ pada 12 Disember lalu itu dianjurkan bersama oleh Universiti Darussalam Gontor, Ponorogo (UNIDA), UNISSA, Universiti Sains Islam, Malaysia (USIM), dan Universiti Fatoni, Thailand.

Menurut kenyataan UNISSA, di sini, selepas acara perasmian, UNISSA dan UNIDA yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Studi Islam Darussalam (ISID) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Dr. Haji Norarfan dan UNIDA diwakili oleh Rektornya, Profesor Dr. Haji Amal Fathullah Zarkasyi.

Dr. Haji Norarfan ketika menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak UNIDA.
Dr. Haji Norarfan ketika menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak UNIDA.

Sejurus penandatanganan MoU tersebut, empat ucaptama telah disampaikan oleh wakil dari keempat-empat institusi pengajian tinggi Islam berkenaan.

Bagi pihak UNISSA, ucaptama telah disampaikan oleh Dr. Abdul Nasir dengan tajuk ‘Sumbangan Pengajian Islam ke Arah Integrasi: Pengalaman Universiti Islam Sultan Sharif Ali’.

Antara yang disentuhnya adalah tentang usaha UNISSA dalam mengintegrasikan bidang ilmu agama dan bidang ilmu umum dalam pengisian kurikulum demi mencapai matlamat UNISSA melahirkan ulama yang terbilang, berpengetahuan luas, berketerampilan, berkemahiran dan seimbang dengan tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Di samping itu, bagi mewujudkan sebuah tamadun yang berdiri megah di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Tambahnya, untuk memastikan hasil yang baik menjadi kenyataan, kecekalan, ketabahan, komitmen, dan kerjasama serius antara institusi pengajian tinggi Islam adalah penting.

Pada sebelah petang, mesyuarat tertutup telah diadakan antara keempat-empat rakan penganjur, di mana beberapa persetujuan telah dicapai iaitu SeIPTI ke-4 akan diadakan di Universiti Fatoni, Thailand yang dijangka mengambil tempat pada Disember 2016, disamping mengenai mobiliti pelajar, kursus Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, pertukaran staf, mewujudkan jurnal yang bertaraf scopus/ SI, juga pertukaran bahan-bahan cetak akademik.

ARTIKEL YANG SAMA