UNISSA, ISDEV anjur Program Sosio-Akademik

UNISSA, ISDEV anjur Program Sosio-Akademik

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Buat julung-julung kalinya, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengadakan Program Makmal Sosio-Akademik ISDEV-UNISSA, yang akan berlangsung selama sebulan bermula 27 Julai hingga 28 Ogos depan.

Menurut kenyataan UNISSA, program kunjungan ini melibatkan 22 siswazah ISDEV dengan dikendalikan oleh siswazah UNISSA di bawah seliaan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa dan Pusat Pengajian Lepas Ijazah. Seramai 46 siswazah UNISSA akan terlibat dalam mengendalikan program berkenaan.

Pelajar siswazah ISDEV berkenaan akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang berbentuk akademik dan sosial sepertimana yang telah dipersetujui dalam sesi perbincangan antara kedua-dua institusi tersebut pada 21 Mei 2015.

Menurut kenyataan itu lagi, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para siswazah ISDEV kepada pembelajaran Bahasa Arab secara formal dan informal.

Selain itu juga, ia akan memperkenalkan para pelajar berkenaan kepada masyarakat dan tradisi budaya Negara Brunei Darussalam di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk mawaddah dan mahabbah sesama siswazah menerusi penglibatan bersama dalam aktiviti keagamaan dan sosial seperti khidmat masyarakat, sukan dan lawatan. Program ini juga akan membantu menjalin hubungan strategik dan perkongsian pintar antara siswazah dalam bidang ilmiah menerusi penganjuran kolokium, sesi dialog, sesi perkongsian dan tugasan secara berkumpulan.

Perasmian program berkenaan dijadualkan diadakan pada 28 Julai depan, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

ARTIKEL YANG SAMA