UNISSA kendalikan bengkel tesis

UNISSA kendalikan bengkel tesis

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan telah mengendalikan Bengkel Pemindahan Tesis kepada Buku bagi menggalakkan para tenaga akademik menerokai bidang penerbitan hasil penyelidikan mereka.

Bengkel dua hari, bermula hari ini, yang berlangsung di Auditorium UNISSA, Gadong, dilaksanakan bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-5 UNISSA, yang menyeru supaya UNISSA memperkembangkan dan meningkatkan bidang penyelidikan. Di samping itu, Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik (SPTA) juga telah menetapkan penerbitan sebagai sebahagian daripada kriteria utama yang melayakkan tenaga akademik berada pada tahap yang lebih baik, menurut kenyataan UNISSA.

Seramai enam orang fasilitator dari UNISSA sendiri mengendalikan bengkel berkenaan yang termasuk Pengarah Pusat Pengajian Lepas Ijazah UNISSA, Dr. Hajah Rasinah binti Haji Ahim, Profesor Madya Kunjungan Fakulti Usuluddin UNISSA, Profesor Madya Dr. Ahmad Fadhel Yousif, dengan dibantu oleh lima orang tenaga akademik. Dengan adanya bengkel ini, ia akan dapat memberikan maklumat dan pengetahuan mengenai teknik menukarkan tesis kepada buku di samping menggalakkan penerbitan buku oleh para penulis tesis.

Hasil daripada mengikuti bengkel ini nanti, para peserta akan mampu menghasilkan buku daripada tesis masing-masing.

Fasilitator dari UNISSA bergambar ramai bersama tenaga akademik yang menjayakan Bengkel Pemin-dahan Tesis kepada Buku. - Gambar oleh UNISSA
Fasilitator dari UNISSA bergambar ramai bersama tenaga akademik yang menjayakan Bengkel Pemin-dahan Tesis kepada Buku. – Gambar oleh UNISSA

ARTIKEL YANG SAMA