UNISSA kongsi pengalaman di bumi Oman

UNISSA kongsi pengalaman di bumi Oman

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah mengadakan Sesi Perkongsian “Kembara Ilmiah Di Bumi Oman” bagi mengongsikan pengalaman mahasiswa-mahasiswi UNISSA yang telah mengikuti Kursus Bahasa Arab di Kolej Sultan Qaboos, Kesultanan Oman.

Sesi berkenaan menampilkan empat ahli panel yang terdiri daripada siswazah-siswazah Sarjana dari Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam iaitu Awangku Ahmad Tarmimi bin Pengiran Damit, Dayang Siti Norsyazwani binti Abu Bakar, Dayangku Siti Norsyuhaida binti Pengiran Haji Ismail dan Dayang Siti Wazini binti Haji Amron.

Sejurus selepas sesi perkongsian di Auditorium UNISSA, Program Al’aab Al-Lughah Al-Arabiyyah (Program Permainan Bahasa Arab) diadakan dengan penanaman pokok bunga di perkarangan kawasan lapang UNISSA bagi kegunaan aktiviti-aktiviti seperti program permainan bahasa berkenaan. Penanaman pokok bunga berkenaan disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku tetamu kehormat majlis.

Dr Haji Norarfan menanam pokok bunga di perkarangan UNISSA.
Dr Haji Norarfan menanam pokok bunga di perkarangan UNISSA.

Sebanyak enam petak disediakan dalam program itu, dengan setiap petak menyediakan permainan yang berkaitan dengan Bahasa Arab untuk menguji kemahiran para siswazah dalam bertutur Bahasa Arab.

Setiap petak diketuai oleh Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Pusat Pengajian Pengurusan Pembangunan Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA, Unit Pelajar Antarabangsa, Pasukan Kadet Tentera UNISSA dan Study Abroad Program UNISSA.

Kursus Bahasa Arab selama dua bulan bermula Februari lalu bermatlamat untuk menghalusi kemahiran mengajar Bahasa Arab di samping menambah pengalaman berkomunikasi dengan masyarakat setempat.

ARTIKEL YANG SAMA