UNISSA – KUIN meterai kerjasama

UNISSA – KUIN meterai kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Dalam usaha meningkatkan reputasinya di luar negara, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah Darul Aman, Malaysia.

Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah berlangsung di Kampus KUIN Kuala Ketil, Kedah Darul Aman, semalam, di mana menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, manakala bagi pihak KUIN pula diwakili oleh rektor universiti berkenaan, Profesor Datuk Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, di sini, hari ini, dalam memorandum tersebut, kedua-dua buah universiti bersetuju menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik, program mobiliti pelajar serta staf, dan penyelidikan dalam bidang pengajian Islam serta lain-lain bidang yang boleh diperluaskan dari semasa ke semasa.

Dr Haji Norarfan dan Profesor Datuk Dr. Mohd Fakhrudin menandatangani memorandum persefahaman antara UNISSA dan KUIN baru-baru ini.
Dr Haji Norarfan dan Profesor Datuk Dr. Mohd Fakhrudin menandatangani memorandum persefahaman antara UNISSA dan KUIN baru-baru ini.

Sejurus selepas majlis penandatanganan, Rektor UNISSA dan Rektor KUIN seterusnya menyampaikan ucapan dan masing-masing bersetuju untuk mengadakan kolaborasi apatah lagi kedua-dua institusi ini mempunyai banyak persamaan dalam program-program yang ditawarkan serta bahasa pengantar yang digunakan iaitu Bahasa Arab.

KUIN merupakan sebuah universiti milik penuh kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan berdaftar di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, kunjungan Rektor UNISSA ke KUIN bukan hanya untuk majlis penandatanganan MoU malahan juga untuk menghadiri Seminar Anti Ekstremisme Melalui Pendekatan Wastiyyah anjuran bersama KUIN, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (Waag Malaysia).

Seminar tersebut telah diadakan selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 Ogos lalu.

ARTIKEL YANG SAMA