UNISSA, KUIS bekerjasama terbitkan buku

UNISSA, KUIS bekerjasama terbitkan buku

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Hasil manifestasi keberkesanan jalinan strategik daripada penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang dimeterai pada Februari lalu, UNISSA dengan kerjasama KUIS telah berhasil menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Wacana Peradaban dan Pemikiran Islam: Interaksi dan Sumbangan Nusa Bangsa’.

Pelancaran buku tersebut, baru-baru ini, telah disempurnakan oleh Rektor KUIS, Profesor Datuk Dr Ab. Halim Tamuri di Masjid Ibrahim, Perth, Australia bersempena dengan Seminar Serantau Peradaban dan Pemikiran Islam (ReCIT 2016).

Buku yang mengetengahkan tema-tema pengajian Islam, sejarah dan tamadun, pendidikan, bahasa dan komunikasi serta ekonomi dan teknologi ini mengandungi kertas-kertas kerja terpilih daripada ReCIT 2015 dan beberapa kertas lain yang digabungkan menjadi sebuah buku.

Pelancaran Buku ‘Wacana Peradaban dan Pemikiran Islam: Interaksi dan Sumbangan Nusa Bangsa’ hasil penerbitan kolaborasi antara UNISSA KUIS.
Pelancaran Buku ‘Wacana Peradaban dan Pemikiran Islam: Interaksi dan Sumbangan Nusa Bangsa’ hasil penerbitan kolaborasi antara UNISSA KUIS.

Buku ini juga dilihat sangat signifikan dalam menjadi wadah untuk menghadapi cabaran aliran pemikiran radikal dan bertentangan dengan prinsip Ahli Sunnah wal Jama‘ah, serta menyumbang kepada perkembangan tamadun dan peradaban Islam.

Seminar ReCIT yang bertemakan ‘Melayu Diaspora: Perkembangan dan Cabaran’ ini telah dianjurkan bersama oleh UNISSA dan KUIS, di mana seramai lapan orang ahli akademik UNISSA telah menyertainya.

Dalam seminar tersebut, sebanyak 40 buah kertas kerja telah dibentangkan oleh ahli-ahli akademik dari pelbagai institusi di Malaysia seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

ARTIKEL YANG SAMA