UNISSA kunjungi IAIN, bincang pelan strategik

UNISSA kunjungi IAIN, bincang pelan strategik

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Dekan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, UNISSA, Dr. Haji Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, hari ini, telah mengadakan lawatan ke Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sultan Maulana Hasanuddin Banten, Indonesia.

Kedatangan rombongan UNISSA berkenaan telah disambut oleh Rektor IAIN, Prof. Dr. Haji Fauzal Iman MA, Timbalan Rektor IAIN, Prof. Dr. Haji Ilzamudin Ma’mur MA, wakil Rektor Administrasi IAIN, Prof. Dr. Haji Encep Syarifudin MPd serta dekan-dekan fakulti IAIN.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, tujuan lawatan adalah bagi membincangkan pelan strategik akademik berikutan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara UNISSA dan IAIN pada 18 Oktober 2015 di Brunei Darussalam.

Pertukaran cenderahati antara pihak UNISSA dan IAIN.
Pertukaran cenderahati antara pihak UNISSA dan IAIN.
Rombongan UNISSA bergambar ramai bersama perwakilan daripada IAIN.
Rombongan UNISSA bergambar ramai bersama perwakilan daripada IAIN.

Antara perkara-perkara yang dibincangkan pada sesi lawatan tersebut termasuk hal-hal berkaitan kemasukan pelajar program pasca siswazah Sarjana dan Doktor Falsafah ke UNISSA, pertukaran pelajar dalam khidmat masyarakat dan sebagainya.

Dalam lawatan itu, Dr. Haji Norarfan juga berkesudian menyampaikan ucapan umum mengenai perkembangan UNISSA sejak mula penubuhannya hinggalah kepada perancangan akan datang apabila UNISSA memiliki kampus kekalnya di Daerah Temburong.

Beliau juga menyentuh mengenai program-program akademik yang ditawarkan dan peluang-peluang melanjutkan pengajian di UNISSA.

Hadir pada sesi ucapan umum tersebut ialah dekan-dekan, pensyarah serta para kakitangan IAIN Sultan Maulana Hasanuddin Banten.

Pertemuan antara rombongan tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderahati.

ARTIKEL YANG SAMA