UNISSA lakar sejarah

UNISSA lakar sejarah

Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-5 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melakar sejarahnya tersendiri apabila buat julung-julung kalinya secara serentak menyaksikan pelancaran 32 buah buku yang terdiri daripada 21 buku dalam Bahasa Arab, enam dalam Bahasa Melayu dan tiga lagi dalam Bahasa Inggeris dan dua Jurnal Berwasita.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, juga selaku Pro Canselor UNISSA, berkenan melancarkan buku-buku baru terbitan UNISSA itu pada Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-5 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Dua daripada buku-buku berkenaan adalah mengenai Negara Zikir iaitu Ensiklopedia Negara Zikir Jilid 1 yang ditulis oleh tenaga akademik UNISSA, dan Dasar dan Strategi Pembangunan Negara Zikir yang merupakan kompilasi 10 buah artikel hasil penyelidikan jaringan berkolaborasi UNISSA dengan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia. Buku-buku ini sesuai menjadi rujukan mengenai istilah dan konsep Negara Zikir yang mana buku Dasar dan Strategi Pembangunan Negara Zikir ini memuatkan antara lain artikel mengenai acuan Negara Zikir dalam konsep pembangunan negara berasaskan syariah.

Penerbitan kali ini adalah yang terbanyak sepanjang sejarah penerbitan UNISSA yang di bawah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan yang dikenali sebagai UNISSA Press.

Dalam pelancaran buku terbitan UNISSA kali ini, buku-buku dalam penulisan Bahasa Arab mendominasi senarai dengan melebihi separuh daripada jumlah terbitan dan ini sejajar dengan tema Mahrajan yang mengangkat kepentingan kedudukan Bahasa Al-Quran iaitu ‘Bahasa Arab dan Tamadun Islam Pemangkin Negara Zikir’.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima pesambah berupa buku-buku yang dilancarkan kelmarin.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima pesambah berupa buku-buku yang dilancarkan kelmarin.

Tema penulisan dalam Bahasa Arab meliputi bidang tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, linguistik dan sastera di mana sebahagiannya hasil penyelidikan tenaga akademik dalam pengajian lepasan ijazah sama ada pada peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah.

Terbitan kali ini juga menyumbang kepada penghasilan tiga buah buku dalam Bahasa Inggeris yang merangkumi bidang akidah, tamadun serta ekonomi dan kewangan Islam.

Ketiga-tiga buku ini menyasarkan kajian kontemporari dan memperlihatkan isu semasa umat Islam dalam era globalisasi.

Salah satu daripada buku tersebut ialah The Studies in World Religion: An Introduction to Monotheistis Traditions (Edisi kedua) yang ditulis oleh Profesor Ahmad F. Yousif yang pada masa ini merupakan profesor undangan di Fakulti Usuluddin UNISSA.

Edisi pertama buku ini telah menerima anugerah The Best Research Award for Humanities and Social Sciences iaitu semasa Research Invention and Innovation Exhibition 2013.

Buku ini mengandungi analisis secara penerokaan mengenai pengertian dalam disiplin perbandingan agama, signifikan, sejarah perkembangan dan metodologi.

Kesemua terbitan kali ini adalah terbitan bersifat akademik dan sesuai dijadikan rujukan pengkaji selain menjadi produk ilmiah yang menunjukkan kesungguhan UNISSA dalam menggiatkan aktiviti penyelidikan dan penerbitan.

Penerbitan ini juga diharap dapat menjadi wadah panduan kepada warga kampus khususnya pelajar dalam menambah baik mutu penulisan kajian selain menjadi pendorong dalam memupuk sifat suka mengkaji sesuai dengan ciri-ciri ahli akademik.

Dengan pelancaran ini, buku-buku terbaru berkenaan boleh didapati di meja pameran dan jualan Pusat Penyelidikan dan Penerbitan bermula 6 hingga 9 Oktober dan turut dijual di gerai Pusat Penyelidikan dan Penerbitan yang dibuka selama empat hari itu termasuk buku, jurnal, prosiding dan buku-buku teks keluaran UNISSA yang diterbitkan sebelum ini.

ARTIKEL YANG SAMA