UNISSA lancar Jurnal Al-Shafi’i

UNISSA lancar Jurnal Al-Shafi’i

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengorak langkah baru dengan melancarkan penerbitan tiga edisi Jurnal Berwasit Antarabangsa dinamakan Jurnal Al-Shafi’i pada majlis yang berlangsung di Auditorium UNISSA, Gadong, hari ini.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Penerbitan Jurnal Al-Shafi’i melalui Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i (PPMS) ini akan dijadikan terbitan karya ilmiah setiap enam bulan sekali dengan harapan ia dapat menjadi dorongan meningkatkan lagi kegiatan penyelidikan dalam kalangan para akademik UNISSA sebagai kesepaduan tanggungjawab akademik memberi khidmat kepada masyarakat ke arah perkembangan Islam di Negara Brunei Darussalam.

Pengarah PPMS, Dr Azme bin Haji Matali semasa menyampaikan ucapannya berkata, sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu Islam di peringkat serantau dan antarabangsa yang mempunyai jenama sebuah universiti Islam bermazhab Shafi’i, PPMS mengorak langkah ke hadapan dalam melebarkan sayap penyelidikannya dengan penerbitan Jurnal Al-Shafi’i.

Yang Berhormat Pehin  (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa melancarkan penerbitan tiga buah buku Jurnal Al-Shafi’i.
Yang Berhormat Pehin (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa melancarkan penerbitan tiga buah buku Jurnal Al-Shafi’i.
Yang Berhormat Pehin meneliti jurnal yang dilancarkan.
Yang Berhormat Pehin meneliti jurnal yang dilancarkan.
Tiga penerbitan jurnal dinamakan Jurnal Al-Shafi’i yang dilancarkan, kelmarin.
Tiga penerbitan jurnal dinamakan Jurnal Al-Shafi’i yang dilancarkan, kelmarin.
Pengerusi ceramah, Dr. Abdul Wadud Mustafa Asaudi (kiri) bersama Profesor Dr. Mohamad Nabil Ghanayim.
Pengerusi ceramah, Dr. Abdul Wadud Mustafa Asaudi (kiri) bersama Profesor Dr. Mohamad Nabil Ghanayim.
Sebahagian daripada hadirin majlis pelancaran penerbitan jurnal Al-Shafi’i.
Sebahagian daripada hadirin majlis pelancaran penerbitan jurnal Al-Shafi’i.

“Usaha ini merupakan satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh PPMS sebagai ejen penyelidikan Islam yang berpaksikan pemikiran mazhab Shafi’i,” tambahnya.

Jurnal yang dilancarkan termasuk Jurnal Al-Shafi’i (Edisi Khas), Jurnal Al-Shafi’i, Bilangan 1 dan Bilangan 2.

Edisi khas jurnal berkenaan memuatkan empat artikel Bahasa Arab hasil penulisan ahli-ahli Lembaga Penasihat Jurnal Al-Shafi’i, manakala edisi Bilangan 1 mengandungi sebanyak tujuh artikel dengan lima dalam Bahasa Arab, satu dalam Bahasa Melayu dan satu lagi dalam Bahasa Inggeris.

Jurnal Al-Shafi’i, Bilangan 2 pula mengandungi lapan artikel iaitu tujuh artikel Bahasa Arab dan satu artikel dalam Bahasa Melayu.

Selepas pelancaran jurnal-jurnal berkenaan, majlis turut diselajurkan dengan Ceramah Umum Kefahaman Mazhab Shafi’i bertajuk “Sumbangan Al-Imam Al-Shafi’i dalam Perkembangan Hadis Nabawi” yang dibentangkan oleh Profesor Dr. Mohamad Nabil Ghanayim.

Antara kandungan ceramah adalah bagi memperkenalkan Imam Shafi’i dan menjelaskan keprihatinan terhadap Hadis Nabawi yang mulia iaitu menerangkan Sunah sebagai hujah, kedudukannya selepas Al-Quran, mensabitkan khabar Ahad, meletakkan syarat-syarat penerimaannya dan menangkis tentangan daripada penentang-penentangnya, menerangkan hukum-hukum syarak selain menghuraikan kepelbagaian darjat Hadis dan memelihara Sunah dan riwayatnya.

Dengan adanya ceramah ini juga akan memberi pengetahuan tentang sumbangan Al-Imam Shafi’i khasnya dalam perkembangan Hadis Nabawi, menonjolkan hasil tulisan Al-Imam Shafi’i dan ulama besar Mazhab Shafi’i serta mempamerkan keunggulan Al-Imam Shafi’i dan mazhabnya sebagai teladan umat Islam.