UNISSA lancar sudut Oman

UNISSA lancar sudut Oman

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah melancarkan Sudut Penerbitan Oman di perpustakaannya selepas menerima sumbangan buku-buku daripada Kedutaan Besar Kesultanan Oman di Brunei Darussalam.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Duta Besar Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari yang menyampaikan sumbangan sebanyak 500 buah naskhah buku daripada kedutaannya kepada UNISSA.

Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam ucapannya telah melahirkan penghargaan sumbangan buku-buku dan penerbitan berkenaan yang meliputi pelbagai bidang.

Katanya, sumbangan berkenaan diharap boleh bertindak sebagai perantara yang mampu membuka mata dan mendidik rakyat Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika merasmikan Sudut Penerbitan Oman di UNISSA.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika merasmikan Sudut Penerbitan Oman di UNISSA.
Hadir pada majlis itu ialah TYT Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari dan pegawai tertinggi Kedutaan Oman serta UNISSA.
Hadir pada majlis itu ialah TYT Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari dan pegawai tertinggi Kedutaan Oman serta UNISSA.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Perpustakaan UNISSA telah menerima sumbangan buku-buku dalam pelbagai bidang termasuk sejarah, ilmu alam, kebudayaan, sastera dan warisan Kesultanan Oman, terutamanya, buku-buku pengkhususan dalam bidang Bahasa Arab seperti Mengajar Bahasa Arab bagi bukan penutur dan juga Sastera Bahasa Arab.

Jalinan hubungan UNISSA dengan pihak Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam dalam bidang akademik begitu menggalakkan apatah lagi sebahagian pelajar UNISSA telah menerima tawaran biasiswa untuk mengikuti program mempelajari Bahasa Arab bagi pelajar bukan penutur bahasa berkenaan di Sultan Qabous College, Kesultanan Oman.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak UNISSA juga telah menerima beberapa sumbangan buku-buku daripada beberapa pihak seperti bekas para pelajar dalam dan luar negara serta orang awam.

Pihak perpustakaan UNISSA amat mengalu-alukan sumbangan buku daripada mana-mana pihak dan orang awam yang mana ini merupakan sebagai salah satu misi dan visi perpustakaan memperkaya koleksi sumber maklumat dalam berbagai-bagai format sebagai bahan rujukan para pelajar dan pensyarah serta penyelidik.

ARTIKEL YANG SAMA