UNISSA memeduli anak yatim Kampung Kiarong

UNISSA memeduli anak yatim Kampung Kiarong

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Derma kepada 11 orang anak-anak yatim Kampung Kiarong dan Iftar Jama’ie (Majlis Berbuka), bertempat di Masjid Kampung Beribi.

Majlis kebajikan itu bermula dengan Majlis Khatam Al-Quran dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Rektor UNISSA selaku tetamu kehormat, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Bacaan Takhtim dan doa Khatam pula disempurnakan oleh Imam Masjid Kampung Beribi, Haji Mohd Daud bin Haji Abdul Kadir.

Majlis khatam tersebut adalah sempena Sambutan Nuzul Al-Quran, dan untuk menghayati lagi sambutan berkenaan, ceramah khas disampaikan oleh, Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Pengiran Dr Haji Saiful Bahrin bin Pengiran Haji Kula.

Antara yang disentuh dalam ceramah beliau ialah bahawa penurunan Al-Quran itu membawa seribu rahmat kepada umat sejagat sesuai dengan Al-Quran sebagai penawar unggul bagi menyembuhkan segala penyakit dan akan melahirkan insan dipandang terhormat.

Salah seorang anak yatim dari Kampung Kiarong menerima sumbangan derma daripada tetamu kehormat.
Salah seorang anak yatim dari Kampung Kiarong menerima sumbangan derma daripada tetamu kehormat.

Sementara itu kenyataan UNISSA berkata antara lain tujuan majlis diadakan bukan setakat memperingati dan menghayati peristiwa bersejarah Nuzul Al-Quran, bahkan untuk menanamkan minat membaca dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Beribi Dato Paduka Haji Othman bin Haji Yaakub, pegawai-pegawai utama, timbalan-timbalan dekan dan pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan UNISSA serta para mahasiswa dan mahasiswi UNISSA. Di akhir majlis, pihak UNISSA juga mengadakan majlis berbuka puasa bersama-sama anak-anak yatim, para jemputan dan penduduk kampung di sekitar masjid berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA