UNISSA menang 3-1 ke atas Curtin

UNISSA menang 3-1 ke atas Curtin

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) memastikan dirinya tidak menghuni tangga tercorot Kumpulan A, Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 apabila bangkit dari ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas Universiti Curtin, Sarawak, Malaysia.

Perlawanan penutup tirai peringkat kumpulan bagi Kumpulan A malam tadi di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong itu menyaksikan Curtin University membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui tandukan Muhammad Syafiq bin Abu Bakar dari hantaran lambung sepakan sudut sebelah sayap kiri mereka.

Dengan dua slot ke separuh akhir sudah direbut oleh UBD dan ITB, perlawanan antara dua pasukan terbawah Kumpulan A itu hanya menjanjikan pasukan yang menang tidak akan menduduki tempat kelima dan terakhir, yang ternyata lebih diingini UNISSA berbanding Curtin University.

Walaupun ketinggalan, UNISSA yang lebih banyak melakukan inisiatif menyerang namun di sebalik asakan dan percubaan bahaya mereka ke gawang Curtin University itu, jaringan penyamaan, 1-1 mereka hadir pada minit ke-40 menerusi nasib baik.

Penjaga gol Universiti Curtin yang sedang dalam tujuan mengutip bola yang bergolek perlahan masuk ke petaknya tiba-tiba tergelincir pada saat genting menyebabkan bola terus bergolek melimpasinya dan pada waktu itulah Mohammad Noor Ridzwan bin Ahad tiba, terus menguis bola dan menendangnya masuk ke gawang terbuka luas.

UNISSA (kuning) menang 3-1 ke atas Universiti Curtin (hitam) dalam aksi Kumpulan A Unicup2015 malam kelmarin.
UNISSA (kuning) menang 3-1 ke atas Universiti Curtin (hitam) dalam aksi Kumpulan A Unicup2015 malam kelmarin.

Empat minit kemudian UNISSA memperoleh gol keduanya menerusi hantaran lambung dari tengah yang berjaya disambut dengan kaki oleh Muhammad Abdul Afiq bin Muhamad Sahari di tengah petak D, melepasi kawalan dua pertahanan sebelum merembat bola melepasi jangkauan penjaga gol Curtin University.

Separuh masa kedua bermula dengan UNISSA mendahului 2-1, dan tiada jaringan terhasil lagi sehinggalah pada minit ke-76 yang merubah kedudukan menjadi 3-1 hasil jaringan Masnadiy bin Haji Masri.

Kemenangan membolehkan UNISSA bertukar tempat keempat dengan Curtin University, yang jatuh ke tempat kelima. Kemenangan pertama dari empat perlawanan itu menyebabkannya mengumpul 3 mata, manakala Curtin University yang mampu seri 1-1 dengan Politeknik Brunei pada perlawanan ketiganya baru-baru ini kekal dengan 1 mata.