UNISSA pelawa ikuti Program Bahasa Al-Quran

UNISSA pelawa ikuti Program Bahasa Al-Quran

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Pembelajaran Berterusan, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) membukakan pendaftaran Program Bahasa Al-Quran untuk orang ramai.

Sehubungan itu, orang ramai dipelawa untuk ikut serta dalam Program Bahasa Al-Quran yang telah ditawarkan mengikut tahap yang bersesuaian.

Ketua Unit Pembelajaran Berterusan, PPIB, UNISSA, Dayang Suaad binti Dr. Haji Serbini berkata, Program Mari Belajar Bahasa Al-Quran (MBBQ) mengandungi tiga modul iaitu Tahap 1 adalah Kursus Asas, Tahap 2 merupakan Kursus Pertengahan dan Tahap 3 serta Tahap 4 pula berkaitan Kursus Lanjutan.

Program ini menggunakan bahasa pengantar sama ada Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab dan Bahasa Melayu, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Program Kemahiran Bahasa Al-Quran (PKBQ) pula mengandungi dua modul yang mengetengahkan dua kemahiran iaitu kemahiran 1 dan 2 berkaitan kemahiran mendengar dan bertutur, Kemahiran 3 dan Kemahiran 4 pula merupakan kemahiran menulis dan membaca.

Program ini juga menggunakan bahasa pengantar sama ada Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab dan Bahasa Melayu.

Manakala Program Tatabahasa Bahasa Al-Quran (PTBQ) pula menggunakan tiga bahasa pengantar sama ada Bahasa Arab atau Bahasa Arab dan Bahasa Melayu atau Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Dayang Suaad berkata, setiap modul dalam program-program ini mengambil masa tiga bulan dan diadakan selama dua hari dalam seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Ahad, pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi, bertempat di UNISSA kecuali Program Mari Belajar Bahasa Al-Quran (MBBQ) yang diadakan sekali seminggu iaitu setiap hari Jumaat atau Ahad, pada masa dan tempat yang sama.

Beliau menjelaskan bahawa yuran bagi setiap modul dalam Program Mari Belajar Bahasa Al-Quran adalah sebanyak $60 dan yuran setiap modul dalam Program Kemahiran Bahasa Al-Quran dan Program Tatabahasa Bahasa Al-Quran adalah sebanyak $100 sahaja tidak termasuk pembelian buku teks.

Tujuan Program Bahasa Al-Quran ini diadakan adalah untuk merealisasikan konsep Negara Zikir dan celik Al-Quran sepertimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Tarikh akhir pendaftaran adalah sebelum 24 Disember 2015 dan program berkenaan akan bermula pada 15 Januari 2016. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi PPPLB, UNISSA di talian 2462000 sambungan 160 ataupun memuat turun borang program berkenaan melalui laman sesawang www.unissa.edu.bn

ARTIKEL YANG SAMA