Unissa perkenal pengajaran Talaqqi

Unissa perkenal pengajaran Talaqqi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Dalam usaha untuk mendedahkan dan mendidik para pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) khususnya dan masyarakat amnya mengenai kaedah dalam berinteraksi dengan kitab-kitab turath, UNISSA melalui Felo Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, telah memperkenalkan Program Talaqqi Kitab-kitab Turath dengan yang pertama telah diadakan 25 Januari lalu di surau sementara, Dewan Serba Guna UNISSA.

Program telah dimulai dengan pengajian Talaqqi kitab Ilya ‘Ulumuddin di bawah bimbingan pensyarah Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr. Sayyed Abdul Hamid al-Mahdaly.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pengajaran sistem Talaqqi merupakan sistem tradisi yang diperkenal oleh Baginda Rasulullah S.A.W, bilamana Baginda mendapat wahyu dan mempelajari Al-Quran melalui malaikat Jibril Alaihissalam.

Sistem ini juga merupakan metodologi pengajian Islam tulen yang telah melahirkan para ulama Islam yang berkepakaran, berwibawa dan mempunyai sahsiah tinggi dan terpuji, yang mana ia menuntut pertemuan guru dengan murid secara bersemuka dengan menelaah kitab Turath bersama guru.

Kitab Turath pula ialah khazanah ilmu yang merupakan sumber primer dalam pengajian Islam, di mana pengarangnya menghimpun segenap catatan ilmu daripada kuliah dan halaqah Talaqqi termasuklah catatan hadis dalam karya-karya para ulama hadis seperti Sahih Bukhari yang di dalamnya dihimpunkan hadis-hadis sahih yang diambil secara Talaqqi daripada para guru Imam Bukhari sendiri melalui tahap penilaian dan disusun mengikut kesesuaiannya.

Warga UNISSA mengikuti sesi Talaqqi.
Warga UNISSA mengikuti sesi Talaqqi.

Bahan bacaan yang akan diikuti dalam pengajian talaqqi ini juga merupakan kitab para ulama dan tokoh Islam terkemuka antaranya ialah kitab Ihya ‘Ulumuddin, Matan Jawhar al-Tauhid, al-Rahiq al-Makhtum dan kitab yang lainnya. Kitab-kitab tersebut juga telah banyak mencorak keperibadian tokoh-tokoh dan sarjana dunia sejak sekian lama.

Sesi Talaqqi ini turut diisikan dengan penerangan secara mendalam mengenai tajuk yang dipelajari dengan panduan oleh seorang guru tentang bagaimana memahami perbincangan kitab tersebut.

Program Talaqqi ini dihasratkan dapat memperkasa ilmu-ilmu asas yang menjadi tunjang dalam pengajian Islam, sekaligus dapat membendung segala ancaman fahaman-fahaman baru yang tidak sealiran dengan amalan beragama di negara ini.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengikuti program ini adalah dialu-alukan untuk menghubungi Felo Kolej Kediaman Siswa, UNISSA, Dr. Ahmad Baha Mokhtar di talian 8643803 atau Felo Kolej Kediaman Siswi, UNISSA, Hajah Nurol Halimatulwara’ binti Haji Mumin di talian 8866875.

ARTIKEL YANG SAMA