UNISSA rai 260 pelajar baru

UNISSA rai 260 pelajar baru

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bukan sahaja sekadar melahirkan graduan cemerlang dalam bidang akademik namun menjadi hasratnya mewujudkan graduan yang memiliki kecemerlangan secara holistik selain keupayaan yang pelbagai berasaskan kepada keyakinan dan akidah mantap hasil pentarbiahan bersepadu.

Perkara ini ditekankan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa berucap di Majlis Amanat dan Ikrar Pelajar-Pelajar Baru UNISSA sesi pengajian 2015/2016 yang berlangsung di Dewan Auditorium universiti berkenaan, hari ini.

Beliau menekankan kepada semua pelajar akan kepentingan pembangunan insan terutama dari aspek pembangunan kerohanian yang merupakan pembangunan paling asas dalam Islam.

UNISSA merupakan menara ilmu yang meletakkan kepentingan pengajian Ilmu Rabbani dalam setiap struktur programnya dengan kursus asas pengajian Islam berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah menjadi kursus teras di universiti berkenaan.

“Ini merupakan paradigma jelas dalam penyataan visi universiti iaitu untuk menjadi sebuah Universiti Islam tulen bertaraf antarabangsa yang progresif dan dinamik dengan berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah,” jelasnya.

Dr Haji Norarfan ketika menyampaikan ucapan di majlis Minggu Ta’aruf, UNISSA.
Dr Haji Norarfan ketika menyampaikan ucapan di majlis Minggu Ta’aruf, UNISSA.
Rektor UNISSA bersama para tetamu yang lain di Majlis Amanat dan Ikrar Pelajar-Pelajar Baru UNISSA.
Rektor UNISSA bersama para tetamu yang lain di Majlis Amanat dan Ikrar Pelajar-Pelajar Baru UNISSA.

Sesi pengajian 2015/2016 UNISSA telah menerima seramai 260 mahasiswa dan mahasiswi baru yang mengikuti pelbagai program pengajian di peringkat lepasan Ijazah, Sarjana Muda dan Diploma di universiti berkenaan.

UNISSA dengan kapasitinya sebagai sebuah gedung ilmu yang memiliki kepakaran dan kredibiliti perlu menjadi tunjang kepada wawasan 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya melalui penerapan nilai Islam secara holistik.

“Kita tidak mahu membentuk pelajar atau membina sebuah masyarakat cemerlang dan berilmu tapi kosong dari segi kerohanian,” tekannya lagi.

Beliau seterusnya menambah, UNISSA kini berusaha mentransformasikan dan meningkatkan mutu kualitinya dari semasa ke semasa terutama dalam aspek pembangunan akademik dengan menawarkan dan mewujudkan pelbagai program baru dan menggerakkan secara aktif aktiviti ilmiah.

Ke arah itu, universiti berkenaan memberi peluang kepada pelajar cemerlang tahun tiga untuk melanjutkan pengajian di luar negara melalui Program Pengajian di Luar Negara antaranya seperti di Universiti Jordan, Yarmuk, Kaherah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Exeter di United Kingdom.

Selain itu, mereka juga diberi peluang untuk menghadiri bengkel dan kursus serta menghadiri kem belia dalam dan luar negara seperti Kursus Intensif Pengukuhan Bahasa Arab selama lapan minggu di Kolej Sultan Qabus, Oman.

Antara mahasiswa dan mahasiswi yang melafazkan ikrar di Majlis Ta’aruf di UNISSA 2015/2016.
Antara mahasiswa dan mahasiswi yang melafazkan ikrar di Majlis Ta’aruf di UNISSA 2015/2016.

SONY DSC

Di samping itu, pelajar UNISSA juga diberikan pendedahan awal dengan kerjaya yang akan diceburi dengan adanya program latihan dalam industri ini, jelasnya akan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kerjaya yang akan diceburi sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta.

Bukan setakat itu, mereka juga akan ditempatkan selama tujuh minggu pada tahun ketiga pengajian di sektor kerajaan dan swasta yang bersesuaian dengan bidang masing-masing.

“Sebagai sebuah universiti Islam, UNISSA tidak boleh terpisah daripada komuniti yang mana khidmat sosial dan masyarakat merupakan perkara yang diberi penekanan utama di universiti ini,” jelasnya.

Mendekati masyarakat dan sentiasa berusaha memberi kefahaman betul mengenai Islam menjadi tanggungjawab yang perlu digalas.

Minggu Ta’aruf ini merupakan sebagai platform untuk menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan universiti serta menjalin ikatan silaturahim dan memberi peluang untuk mengenali antara satu sama lain. Rektor UNISSA Dr Haji Norarfan seterusnya berharap mereka yang berjaya mengikuti pengajian di universiti ini akan menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk menimba pengalaman dan mengaut segala ilmu pengetahuan serta memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak penganjur Minggu Ta’aruf.

ARTIKEL YANG SAMA