UNISSA sasar terbitkan 25 buku ilmiah setahun

UNISSA sasar terbitkan 25 buku ilmiah setahun

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Ahli tenaga akademik di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) serta penulis luar UNISSA digalakkan untuk menerbitkan buku-buku atau manuskrip mereka mengikut kesesuaian penerbitan di bawah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan (PPP), UNISSA Press.

Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Dr Hajah Rose binti Abdullah menjelaskan, penulisan yang berjaya diterbitkan di bawah UNISSA Press, akan diberikan beberapa insentif iaitu menerima 10 buah naskhah bagi setiap buku masing-masing dan royalti sebanyak 10 peratus daripada kos pencetakan.

Sementara itu, bagi penulis bersama pula akan menerima jumlah naskhah dan peratusan royalti yang sama untuk dikongsikan dalam kalangan penulis-penulis. Semasa ditemu bual pada Majlis Penandatangan Memorandum ‘Penerbit-Penulis UNISSA Press 2016’ di UNISSA, hari ini, beliau turut menjelaskan syarat-syarat perjanjian, antaranya penerbitan mestilah mempunyai penyelidikan yang mantap, tajuk yang bersesuaian dan buku bacaan yang memberi manfaat pendidikan kepada pembaca.

Apa yang ditekankannya adalah, buku tersebut juga mestilah tidak pernah diterbitkan sebelumnya di mana-mana institusi atau organisasi, jika terjadi masalah pelanggaran terbitan dalam tempoh perjanjian dijalankan, maka penulis akan bertanggungjawab atas masalah tersebut.

“Buku yang dinilai, jika kualiti penulisan mencapai ke tahap yang diperlukan, buku tersebut akan diterbitkan oleh UNISSA Press dan secara automatik bermakna penulis tidak dibenarkan untuk menerbitkan buku mereka ke mana-mana Institusi atau organisasi selama lima tahun bermula dari penerbitan buku tersebut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa UNISSA juga akan mengadakan kursus dan bengkel seperti menukar tesis menjadi buku dan pembelajaran penulisan untuk meningkatkan kualiti penerbitan.

Katanya, walaupun PPP baru ditubuhkan pada 2015, UNISSA sedaya upaya meningkatkan mutu perkhidmatan penerbitan di bawah UNISSA Press selaras dengan tumpuan untuk menghasilkan 25 buku atau lebih terbitan dalam setahun.

Untuk perkembangan selanjutnya, UNISSA juga berharap agar usaha-usaha pemasaran dan penjualan buku-buku dapat dilaratkan ke luar negara.

Menurutnya, usaha-usaha awal telah dibuat dengan menghantar katalog buku-buku terbitan UNISSA Press ke Institusi-institusi luar negara dan juga ke kedutaan-kedutaan luar negara di Brunei Darussalam.

Dengan adanya galakan dan insentif-insentif yang disediakan, beliau berharap akan meningkatkan lagi semangat kakitangan akademik untuk menulis dan menghasilkan buku-buku mereka.

ARTIKEL YANG SAMA