UNISSA tawar program pengajian Doktor Falsafah

UNISSA tawar program pengajian Doktor Falsafah

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Dalam merealisasikan misinya melahirkan graduan yang soleh berwibawa dan mampu menyumbang ke arah pembangunan ummah yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa berlandaskan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) akan menawarkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Undang-Undang bermula dengan Semester 1, sesi pengajian 2015/2016.

Menurut kenyataan UNISSA, usaha ini bertujuan untuk memenuhi aspirasi ”Negara Zikir” ke arah melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan serta berakhlak mulia di samping mengukuhkan dan memantapkan lagi usaha dan tuntutan negara dalam merealisasikan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Program ini ditawarkan khusus kepada pengamal dan penguatkuasa undang-undang serta para graduan yang mahir dalam bidang undang-undang untuk membuat kajian dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Kenyataan menjelaskan, pengajian program ini adalah sepenuh masa dan separuh masa dan tempoh pengajian sepenuh masa ialah antara tiga tahun (enam semester) hingga lima tahun (10 semester), manakala bagi pengajian separuh masa ialah antara empat tahun (8 semester) hingga tujuh tahun (14 semester).

Dalam hal yang sama, Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i (PPMS), UNISSA juga menawarkan dua Program Pengajian Lepas Ijazah iaitu Ijazah Sarjana Mazhab Shafi’i (Secara Penyelidikan) dan Ijazah Doktor Falsafah Mazhab Shafi’i (Secara Penyelidikan).

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam khasnya di Negara Brunei Darussalam yang menjadikan Mazhab Shafi’i sebagai mazhab ikutan beragama dan melahirkan cendekiawan dan ulama Islam yang mahir dan mendalami ilmu pengajian Mazhab Shafi’i dalam bidang-bidang yang diterokai.

Mod pengajian program yang ditawarkan ialah pengajian Sepenuh Masa, dengan tempoh pengajian Program Ijazah Sarjana Mazhab Shafi’i Secara Penyelidikan, selama setahun (dua semester) hingga dua tahun (empat semester).

Manakala tempoh pengajian Program Pengajian Ijazah Doktor Falsafah Mazhab Shafi’i Secara Penyelidikan ialah tiga tahun (6 semester) hingga empat tahun (8 semester).

Keterangan lanjut mengenai program-program ini boleh didapati melalui laman sesawang UNISSA, http://www.unissa.edu.bn.

ARTIKEL YANG SAMA