UNISSA terima buku wakaf

UNISSA terima buku wakaf

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima sebanyak 113 buah buku wakaf daripada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey, yang telah disampaikan dalam majlis yang berlangsung di Perpustakaan UNISSA, hari ini.

Pada majlis itu, sumbangan buku wakaf tersebut disampaikan oleh Ahmed Ali Sirohey sendiri kepada Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Buku-buku yang disumbangkan itu meliputi pelbagai bidang termasuk hubungan antarabangsa, ekonomi politik, sejarah Pakistan dan Pakistan dalam dunia kontemporari.

Dengan adanya sumbangan buku ini, ia dapat membantu Perpustakaan UNISSA dalam menambah bahan bacaan dan koleksi sebagai rujukan kepada orang ramai khususnya mahasiswa.

Sebagai institusi perpustakaan, ia perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat dengan membudayakan ilmu dan pembacaan kerana ia merupakan infrastruktur ilmu penting dalam menyalurkan ilmu kepada orang ramai.

Ahmed Ali Sirohey menyerahkan buku kepada Dr.Haji Norarfan Haji Zainal.
Ahmed Ali Sirohey menyerahkan buku kepada Dr.Haji Norarfan Haji Zainal.

Pada majlis itu, Dr Haji Norarfan melahirkan rasa penghargaan kerana diberi peluang menerima buku-buku tersebut dan diharap dengan sumbangan ini, ia dapat dimanfaatkan sebaiknya seterusnya bertindak sebagai perantaraan yang mampu membuka mata dan mendidik rakyat negara ini.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mengukuhkan hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Pakistan,” jelasnya.

Beliau seterusnya melahirkan harapan agar akan ada lagi usaha seterusnya dalam meningkatkan hubungan antara kedua-dua buah negara pada masa akan datang.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan buku tersebut ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor, Dr Arman bin Haji Asmad dan pegawai utama UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA