UNISSA terima kunjungan JISDA

UNISSA terima kunjungan JISDA

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah menerima kunjungan daripada delegasi Jam’iah Islam Sheikh Daud Al-Fathani (JISDA), Selatan Thailand sebagai rangka ke arah mengadakan hubungan persefahaman dan ingin mengenali lebih dekat serta melihat secara langsung perkembangan UNISSA.

Menurut kenyataan UNISSA, JISDA adalah sebuah universiti Islam yang telah ditubuhkan di bawah pembinaan Muassasah Assaqafah Al-Islamiyah Yala, Selatan Thailand semenjak tahun 1993.

Penubuhannya adalah sebagai Pusat Pengajian Tinggi Islam di Selatan Thailand dalam membantu para pelajar yang berada di institusi pendidikan, madrasah dan juga pondok untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh sebab terdapat sedikit persamaan antara UNISSA dan JISDA maka lawatan ini berbentuk suai kenal, di samping berkongsi pengalaman antara ke dua-dua institusi.

Ini juga sejajar dengan peranan UNISSA sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja mementingkan kecemerlangan pelajarnya bahkan kemaslahatan ummah.

Warga UNISSA bergambar ramai bersama delegasi JISDA.
Warga UNISSA bergambar ramai bersama delegasi JISDA.

Sementara itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mengadakan kolaborasi atau jalinan yang menuntut komitmen mengikut kepakaran bidang masing-masing.

Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal telah mengalu-alukan kunjungan delegasi dengan memberikan sedikit penerangan berkenaan dengan penubuhan UNISSA serta menjelaskan tentang hubungan persefahaman yang telah dibuat oleh UNISSA dengan institusi pengajian Islam sama ada di peringkat ASEAN ataupun antarabangsa. Kunjungan delegasi berkenaan telah diketuai oleh Rektor JISDA, Dr. Abdurrashid Hamee’yae dan diiringi tujuh orang pegawai JISDA.

Turut hadir ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor, Dr. Arman bin Haji Asmad, pegawai-pegawai utama dan beberapa orang pegawai UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA