UNISSA terima kunjungan PNU

UNISSA terima kunjungan PNU

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Serombongan 15 orang dari Universiti Puteri Naradhiwas (PNU), Thailand hari ini mengadakan kunjungan muhibah ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi menjalin hubungan lebih rapat antara kedua-dua buah universiti.

Rombongan tersebut yang diketuai oleh Presiden PNU, Penolong Profesor Dr. Rossukon Sangmanee turut disertai oleh timbalan presiden, para dekan, pengarah, timbalan dekan dan timbalan pengarah universiti berkenaan.

PNU merupakan sebuah universiti kerajaan ditubuhkan pada tahun 2005 dengan keramaian 4,000 pelajar. Ia menawarkan pengajian sarjana muda dan sarjana dalam 11 fakulti/kolej/institut, termasuklah Institut Pengajian Islam dan Bahasa Arab yang mengandungi pelbagai program di bawahnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA di sini, kunjungan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan oleh PNU ke Negara Brunei Darussalam.

Perjumpaan dalam kunjungan ini dipengerusikan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal. Ia merupakan platform untuk kedua-dua buah institusi ini berta’aruf dan meninjau kemungkinan kolaborasi dan jalinan kerjasama dalam berbagai bidang dijalankan.

Rombongan dari PNU bergambar ramai bersama warga UNISSA.
Rombongan dari PNU bergambar ramai bersama warga UNISSA.

Menurut UNISSA, antara perbincangan yang diberi keutamaan ialah kerjasama dalam meningkatkan keupayaan penguasaan Bahasa Arab pelajar PNU, justeru, pihak PNU berhasrat untuk menghantar para pelajarnya mengikuti program-program yang ditawarkan di UNISSA melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa.

Ini berdasarkan daripada pengalaman dan program yang pernah dijalankan di UNISSA.

UNISSA sebelum ini sudah mempunyai pelajar dari College of Islamic Studies, Prince Songkla University, Selatan Thailand untuk mengikuti pengajian di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa selama satu semester.

Selain mempertajam kebolehan penguasaan Bahasa Arab mereka turut mendalami kursus-kursus lain seperti Hafazan Al-Quran dan beberapa kursus di bawah Program Usuluddin, Shari’ah dan Undang-Undang dan Bahasa Arab dan Tamadun Islam.

Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama erat dalam bidang pengajian tinggi ini adalah sejajar dengan kepentingan ASEAN yang akan terus bersatu mengembangkan peranan aktif dan inisiatif dalam mendukung hasrat ASEAN bagi menjamin kesejahteraan serantau dan ummah seluruhnya.

Perjumpaan ini turut dihadiri oleh Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan pegawai-pegawai utama UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA