UNISSA terima kunjungan Timor-Leste

UNISSA terima kunjungan Timor-Leste

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Charge d’Affaires Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Erminio da Silva Pinto.

Menurut kenyataan UNISSA, kunjungan tersebut bertujuan bagi meninjau peluang kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya dalam bidang pengajian Islam, di samping memberi pendedahan kepada mereka mengenai program-program yang ditawarkan di UNISSA bagi melihat ruang yang boleh diikuti oleh pelajar Timor-Leste khususnya bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar.

Penawaran kursus intensif Bahasa Arab sebelum ini sudah mula diperkenalkan di UNISSA dan menerima sambutan yang sangat menggalakkan, bukan hanya daripada masyarakat setempat bahkan pelajar dari negara jiran.

Ini bertepatan dengan hasrat UNISSA sebagai sebuah institusi Islam tulen yang mengalu-alukan rakan serantau yang bersedia membantu ke arah meningkatkan perkembangan pendidikan dan kemajuan syiar Islam di rantau ini.

Timur-Leste merupakan sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan pada tahun 2002 dan kurang dikenali lebih-lebih lagi dalam bidang institusi pendidikan.

Dr. Haji Norarfan menyampaikan cenderahati kepada Tuan Yang Terutama Erminio da Silva Pinto pada pertemuan itu.
Dr. Haji Norarfan menyampaikan cenderahati kepada Tuan Yang Terutama Erminio da Silva Pinto pada pertemuan itu.

Negara tersebut memiliki kapasiti penduduk lebih kurang 1.2 juta dengan lebih kurang dua peratus daripadanya merupakan orang Islam yang kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Melayu Indonesia.

Sekalipun Timor-Leste masih dalam rangka membangun negaranya dalam berbagai-bagai aspek, namun dengan dasar pengamalan demokrasi, ia berpotensi membina hubungan dengan negara tetangga dan antarabangsa serta memanfaatkannya untuk membangunkan sumber daya manusia mereka. Kini negara tersebut memiliki empat buah universiti.

Pertemuan berkenaan, sekalipun singkat, namun sangat signifikan untuk mengenali lebih dekat mengenai Timor-Leste dan Islam di sana, di samping menyelami budaya masyarakat dan keterbukaan pemerintahannya dalam sama-sama memberikan peluang kepada pelajar Muslim untuk melanjutkan pengajian mereka.

Kunjungan hormat berkenaan turut dihadiri oleh beberapa orang pegawai utama UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA