UNISSA terima kunjungan UMS

UNISSA terima kunjungan UMS

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar daripada delegasi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa, Kolej Kediaman E sesi 2015/2016, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program lawatan ke UNISSA bertema ‘Jelajah Budaya Ke Brunei’ itu disertai seramai 15 orang mahasiswa/mahasiswi mewakili organisasi penting dalam Kolej Kediaman UMS dengan diketuai oleh Timbalan Pengetua Kolej Kediaman, Mohd Hilmey bin Saili.

UNISSA dalam kenyataannya menyatakan bahawa, lawatan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para delegasi bertukar-tukar pandangan dengan pihak UNISSA.

Selain itu, untuk menambah pengetahuan dan berkongsi pengalaman berkaitan penambah baikan mengenai pengurusan dan penglibatan mahasiswa yang ada di UMS, di samping dapat melihat lebih dekat mengenai budaya dan tradisi masyarakat yang berbeza di Negara Brunei Darussalam.

Gambar ramai bersama rombongan pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Gambar ramai bersama rombongan pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kunjungan delegasi UMS telah dialu-alukan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar UNISSA, Awang Supri bin Haji Sudin dan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Haji Muhammad Nur Alif bin Haji Talib.

Pada siri lawatan tersebut, delegasi UMS telah mendengar taklimat pengenalan tentang UNISSA melalui tayangan video korporat dan seterusnya mendengarkan taklimat berhubung Kolej Kediaman UNISSA oleh Pengurus Kolej Kediaman Siswa, Haji Mohammad Khairul Rijal bin Begawan Mudim Haji Sapar.

Pihak delegasi seterusnya menyampaikan ucapan balas dan memberikan sedikit pengenalan tentang UMS serta berharap agar program delegasi ilmiah ke UNISSA dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan agar hubungan yang baik dapat dibina melalui program ini.

Sesi taklimat diakhiri dengan sesi dialog antara kedua-dua belah pihak sebelum diteruskan dengan lawatan keliling kampus UNISSA yang dikendalikan oleh MPP.

ARTIKEL YANG SAMA