UNISSA terima kunjungan UMSKAL

UNISSA terima kunjungan UMSKAL

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menerima kunjungan daripada seramai 38 mahasiswa/mahasiswi Persatuan Mahasiswa Kewangan Islam Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Majlis kunjungan yang diadakan di Bilik Senat, UNISSA itu telah dipengerusikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, UNISSA, Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Antara isu yang disentuh dalam perbincangan kedua-dua pihak ialah isu produk kewangan Islam yang dipraktikkan di institusi perbankan Islam, isu sistem perbankan konvensional dan isu faedah perbankan.

Menurut kenyataan UNISSA, dengan tema ‘Jelajah Brunei Menjalin Ukhwah’, lawatan sambil belajar itu telah menjalinkan hubungan dua hala antara pihak UNISSA dengan UMSKAL.

Gambar ramai para mahasiswa dan mahasiswi UMSKAL bersama warga UNISSA.
Gambar ramai para mahasiswa dan mahasiswi UMSKAL bersama warga UNISSA.

Para mahasiswa dan mahasiswi kedua-dua belah pihak juga memperoleh kemahiran dalam kepimpinan dan bertukar-tukar penyelesaian bagi masalah yang berhubung dengan pengurusan tertinggi.

Antara tujuan yang lebih penting program ini adalah untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai produk perbankan Islam yang digunakan di institusi perbankan Islam tempatan di samping berkongsi dan bertukar-tukar pendapat dengan tenaga akademik dan juga Persatuan Pelajar, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, UNISSA.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk melihat dan meneroka sendiri tentang budaya dan tradisi masyarakat yang berbeza di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA