UNISSA terima...

UNISSA terima kunjungan UNIVA

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang kini terus menjadi tumpuan kepada masyarakat luar khususnya daripada institusi pendidikan Islam, telah mene-rima kunjungan dari Universitas Al-Washliyah (UNIVA) Medan, Indonesia, kelmarin.

Rombongan seramai 24 orang yang diketuai oleh Rektor universiti berkenaan, Profesor Dr. H. Basyaruddin, MS itu telah dialu-alukan oleh Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

UNISSA dalam kenyataannya di sini berkata, lawatan itu bertujuan untuk menerokai peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan melibatkan pakar akademik kedua universiti khususnya dalam bidang penyebaran dakwah Islam dan membanteras gerakan penyelewengan akidah.

Di samping itu, ia juga untuk merancang kegiatan kerjasama yang melibatkan Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam.

Pemangku Rektor UNISSA menyampaikan cenderahati kepada Rektor UNIVA Medan, Indonesia.
Pemangku Rektor UNISSA menyampaikan cenderahati kepada Rektor UNIVA Medan, Indonesia.

Profesor Dr. H. Basyaruddin dalam ucapannya menjelaskan bahawa UNIVA yang mula ditubuhkan pada 18 Mei 1958 dan sudah pun berusia 59 tahun, adalah bermatlamat untuk melahirkan ulama dan sarjana yang bertanggungjawab serta ber-akhlak mulia demi memelihara keselamatan agama, bangsa dan negara. Rombongan juga disertai oleh Majelis Pendidikan Al-Jami’iyatul Washliyah Propinsi Sumatera Utara, Indonesia yang terdiri daripada para pensyarah, tenaga pengajar institusi pendidikan dan ahli korporat.

Majlis diakhiri dengan sesi dialog dan pertukaran cenderahati sebagai simbol kerjasama UNISSA dan UNIVA agar terus menjadi rakan karib dalam bidang kajian ilmiah dan akan merancang penandatanganan memorandum persefahaman di masa akan datang.

Turut hadir ialah penolong rektor UNISSA, pegawai-pegawai eksekutif, dekan-dekan fakulti dan pengarah-pengarah pusat.