UNISSA terima kunjungan warga UII

UNISSA terima kunjungan warga UII

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah dapat menarik minat institusi pengajian tinggi luar negara untuk mengadakan perbincangan dua hala, yang terbukti dengan adanya kunjungan daripada enam orang pensyarah dan pegawai Universitas Islam Indonesia (UII) Yogyakarta, hari ini.

Menurut kenyataan UNISSA, dengan tema “Jalinan Pengajian Islam ASEAN Bagi Mengatasi Masalah Global Dan Isu Semasa”, lawatan rombongan berkenaan yang diketuai oleh Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Dr. Hajah Sri Haningsih, M. Ag, itu telah dapat menjalinkan hubungan persefahaman dari sudut akademik dan program-program yang bersesuaian antara pihak UNISSA dengan UII.

Antara tujuan lawatan adalah untuk meningkatkan kualiti sosialisasi hasil kajian yang menjadi teras dan kajian berbentuk spesifik melalui penyebaran ilmiah dengan kerjasama ke dua buah universiti.

Lawatan ini juga akan dapat membuka jaringan kerjasama antara UNISSA dan UII dalam bidang yang menepati isu globalisasi dan juga masalah setempat.

Kunjungan dua hala ini telah dipengerusikan oleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Hajah Masnooraini binti Haji Mohiddin.

Rombongan STAIN ketika kunjungan ke UNISSA.
Rombongan STAIN ketika kunjungan ke UNISSA.

Menurut kenyataan itu lagi, antara isu perbincangan yang telah disentuh ialah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam ASEAN pada abad ini yang begitu membimbangkan.

Faktor Globalisasi bukan hanya mendorong terjadi perubahan peradaban malah akan menimbulkan perubahan dalam struktur kehidupan sama ada dari sudut sosial, budaya, agama, ekonomi, politik, mahupun juga pendidikan.

Sementara itu, kelmarin, UNISSA juga telah menerima kunjungan daripada Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN) Pekalongan Indonesia yang bertaraf universiti.

Rombongan daripada STAIN, Pekalongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i, Prof. Madya Dr Abdel Wadoud Moustafa Moursi El Seoudi manakala delegasi diketuai oleh Pengarah Pascasarjana, Dr. Haji Muhlisin.