UNISSA terima kunjungan warga UIM

UNISSA terima kunjungan warga UIM

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah menerima kunjungan rombongan dari Universiti Islam Malaysia (UIM) dalam rangka untuk mengadakan koordinasi dan kolaborasi setelah termeterainya memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 27 Mei 2015 di UNISSA.

Menurut UNISSA, kunjungan ini merupakan kesinambungan daripada perbincangan-perbincangan melalui sesi perjumpaan antara Presiden UIM dan Rektor UNISSA yang lalu.

Perbincangan tersebut adalah bagi menjalinkan rangkaian kerja antara kedua-dua belah pihak khususnya dalam bidang Perundangan Islam, Kewangan Islam, Comparative Heritage dan penganjuran bersama persidangan/seminar dan sebagainya.

Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad telah mempengerusikan perjumpaan ini dengan mengalu-alukan kedatangan rombongan dan berharap perjumpaan ini akan dapat merealisasikan program-program usaha sama kedua institut pengajian tinggi (IPT) yang boleh mendatangkan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Warga UNISSA bergambar ramai dengan rombongan UIM.
Warga UNISSA bergambar ramai dengan rombongan UIM.

Kunjungan rombongan UIM diketuai oleh Dekan Akademik dan Perhubungan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid dan diiringi oleh Pengarah Global Wisdom Academy, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub.

Antara tujuan kunjungan adalah untuk membincangkan secara terperinci kerjasama yang boleh dilaksanakan pada tahun ini di samping membuat perancangan aktiviti-aktiviti akademik dan penyelidikan bersama.

Turut hadir ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Penolong Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad, para pengarah dan pegawai UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA