UNISSA terima...

UNISSA terima penghormatan antarabangsa jadi ahli FUIW

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mendapat penghormatan antarabangsa apabila menerima undangan untuk menghadiri Sesi Persidangan Agung Persekutuan Universiti-universiti Dunia Islam (FUIW) ke-7 yang telah diadakan selama dua hari, hingga kelmarin, di Ibu Pejabat ISESCO, Rabat, Maghribi.

Persidangan tersebut telah dihadiri oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

UNISSA dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa dengan undangan tersebut, UNISSA mula melangkah ke depan setelah secara rasminya diterima menjadi ahli FUIW, sebuah pertubuhan antarabangsa di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Islam (ISESCO).

Pertubuhan ini dianggotai oleh 317 buah universiti di peringkat global dan antara objektif pertubuhannya adalah untuk meningkatkan tahap kajian saintifik dalam semua bidang, bertukar-tukar pandangan dan menghubungkan semua ahli dengan keperluan pembangunan dan ketamadunan umat Islam.

FUIW juga berusaha untuk menaik taraf dan mengembangkan pelajaran tinggi untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam dan mendapat manfaat daripada perkembangan baru sains dan teknologi selaras dengan ketamadunan umat Islam.

Dr. Haji Norarfan ketika menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pengarah ISESCO.
Dr. Haji Norarfan ketika menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pengarah ISESCO.
Dr. Haji Norarfan ketika menghadiri seminar yang diadakan di Ibu Pejabat ISESCO, Rabat, Maghribi.
Dr. Haji Norarfan ketika menghadiri seminar yang diadakan di Ibu Pejabat ISESCO, Rabat, Maghribi.

Persidangan selama dua hari tersebut telah dihadiri oleh Pemangku Menteri Pengajian Tinggi, Penyelidikan Saintifik dan Latihan Eksekutif, Kerajaan Maghribi, Dr. Jamila El Moussali, Rektor Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh – Kerajaan Arab Saudi, Prof. Dr. Suliman Aba-Al Khail selaku Pengerusi Majlis Eksekutif FUIW dan Ketua Pengarah ISESCO, Dr. Abdul Aziz bin Othman Altwaijri selaku Setiausaha Agung FUIW dan seramai 171 perwakilan universiti seluruh dunia.

Dr. Abdul Aziz dalam ucapannya antara lain telah menekankan tentang beberapa projek FUIW yang akan dilaksanakan antaranya projek badan keanggotaan Islam bagi kualiti dan kredibiliti, projek mewujudkan satu rangkaian pakar perancangan strategik di universiti-universiti, projek penubuhan etika pendidikan universiti dan pusat penyelidikan saintifik, projek mewujudkan jaringan rangkaian kerjasama dalam bentuk akademik, projek mewujudkan pertukaran program-program, pertukaran pelajar dan bentuk pengajaran dan projek penubuhan pautan kolej dan simetri.

Dalam kesempatan itu juga, menurut kenyataan itu lagi, Rektor UNISSA juga telah membuat kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah ISESCO selaku Setiausaha Agung FUIW dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa buah universiti antarabangsa iaitu International University of Agadir (UNIVERSIAPOLIS), Kingdom of Morocco, International Islamic University, Islamabad (IIUI), Pakistan dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Malaysia.