UNISSA terus martabatkan kitab Turath

UNISSA terus martabatkan kitab Turath

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah memperkenalkan program bagi memahami perbahasan ulama dalam karya agung mereka dinamakan ‘Bengkel Tafaqquh Kitab Turath Mazhab Shafi‘i’.

Bengkel kali ini yang akan diadakan pada 10 dan 11 Februari, memilih dua kitab Turath iaitu al-Majmu’ karangan Imam Nawawi (Bahasa Arab) dan Matla’ al-Badrain karangan Muhammad bin Ismail Daud Fatani (Bahasa Melayu).

Menurut kenyataan UNISSA, tenaga pengajar bagi kedua-dua sesi bengkel berkenaan terdiri daripada para pensyarah yang berkepakaran dalam bidang fiqh sesuai dengan kitab yang akan diajarkan.

Selain menonjolkan kitab Turath sebagai sumber rujukan yang berautoriti dalam melaksanakan ibadah harian, bengkel turut mengetengahkan peranan Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi‘i yang dihasratkan untuk menjadi hab penyelidikan Mazhab Shafi‘i di rantau sebelah sini.

Di samping itu, bengkel juga merupakan sumbangan UNISSA kepada masyarakat dalam usaha berterusan memberikan kefahaman yang benar dan tepat dalam memahami hukum-hakam dan isu yang berkaitan dalam permasalahan fiqh.

Sebelum ini, UNISSA turut memperkenalkan Program talaqqi kitab-kitab Turath yang mana pengajiannya telah bermula pada bulan lalu.

Sehubungan itu, mereka berminat untuk   mengikuti bengkel berkenaan dialu-alukan untuk menghubungi Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi‘i di talian 2462000 sambungan 407.

Menurut kenyataan itu, kitab Turath adalah khazanah ilmu warisan ulama terdahulu yang mempunyai keistimewaan tersendiri, antaranya ialah kebanyakannya mempunyai sanad yang bersambung kepada sumber mutlak pembawa risalah terakhir iaitu Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Pengajiannya juga perlu hadir berdepan dengan para guru di mana tuan guru tersebut merupakan seorang yang sangat mahir mengenai kitab yang diajarkan.

Bahkan tuan guru yang alim itu selain mempunyai sanad yang bersambung bertiti zaman sehingga kepada para tabiin, sahabat Radiallahu ‘Anhum dan langsung kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, mereka juga merupakan penulis.

Mereka menulis berbagai-bagai penerangan dan penjelasan mengenai kitab yang diajarkan dalam pelbagai disiplin ilmu dalam pengajian Islam. Ini termasuklah ilmu tafsir, hadis, fiqh, akidah dan ilmu alat yang penting seperti Bahasa Arab.

Justeru, kebolehan ini menghasilkan karya agung yang sehingga ke hari ini masih tegar menjadi rujukan ummah. Inilah insan dan tokoh Islam zaman silam yang mampu menjawab pelbagai permasalahan ummah dengan ketajaman minda dan pena.

ARTIKEL YANG SAMA