UNISSA-UIM meterai MoU kerjasama

UNISSA-UIM meterai MoU kerjasama

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Islam Malaysia (UIM), hari ini, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meluaskan kerjasama dalam bidang akademik dan bukan akademik di antara kedua-dua buah universiti.

Penandatanganan MoU berkenaan berlangsung di Bilik Bankuet, UNISSA, dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektornya, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, manakala UIM diwakili oleh Presidennya, Tan Sri Profesor Dr Mohd Yusof Noor. Dengan penandatanganan ini, UNISSA dan UIM menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik, program pertukaran pelajar dan kakitangan, dan penyelidikan dalam bidang-bidang pengajian Islam serta bidang-bidang lain yang boleh diperluaskan dari semasa ke semasa.

Terutamanya kerjasama strategik dalam bidang akademik melalui pertukaran pengalaman dan perkongsian ilmu serta maklumat untuk memartabatkan pendidikan Islam dan meningkatkan kualiti program dan urus tadbir institusi pengajian tinggi Islam setaraf dengan universiti-universiti ternama di luar negara.

UIM merupakan sebuah universiti pasca siswazah pertama yang ditubuhkan di Malaysia. Di awal penubuhannya, pada 8 April 1955, ia dikenali sebagai Kolej Islam Malaya (KIM) yang mana ia merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang pertama di Malaysia atas persetujuan diraja melalui Majlis Raja-Raja Melayu untuk meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan umat Islam di Tanah Melayu pada ketika itu.

Kedua-dua wakil universiti bertukar-tukar dokumen menandakan termeterainya MoU di antara UNISSA dan UIM.
Kedua-dua wakil universiti bertukar-tukar dokumen menandakan termeterainya MoU di antara UNISSA dan UIM.
Dr Haji Norarfan (kiri) menandatangani bagi pihak UNISSA dan (kanan) Tan Sri Profesor Dr Mohd Yusof menandatangani bagi pihak UIM disaksikan oleh Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff (tengah).
Dr Haji Norarfan (kiri) menandatangani bagi pihak UNISSA dan (kanan) Tan Sri Profesor Dr Mohd Yusof menandatangani bagi pihak UIM disaksikan oleh Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff (tengah).

Pada tahun 1966, KIM telah berpindah ke kampus baru di jalan Universiti, Petaling Jaya, kemudian dalam tahun 1970, kolej ini telah diserapkan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Fakulti Pengajian Islam.

Seterusnya, pada November 2013, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia secara rasmi meluluskan penubuhan Universiti Islam Malaysia (UIM) dan kemudiannya didaftarkan di bawah Kementerian Pelajaran sebagai sebuah universiti swasta pada bulan Julai 2014.

Pada masa ini, UIM terletak di Cyberjaya dengan keluasan meliputi 100 ekar. Sesi pengajian pertama UIM bagi Program Sarjana dan Doktor Falsafah akan bermula pada bulan September 2015.

Sejak penubuhannya pada 1 Januari 2007, UNISSA terus giat berusaha menjalinkan hubungan kerjasama dengan rakan strategik melalui penandatanganan MoU dengan pelbagai institusi pengajian tinggi serantau dan antarabangsa yang sekali gus telah menaikkan reputasi UNISSA di persada antarabangsa.