UNISSA, UNNES meterai MoU

UNISSA, UNNES meterai MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus meningkatkan kemajuan dalam bidang kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi luar negara dengan termeterainya penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia yang berlangsung di Bilik Senat, UNISSA Gadong, pagi kelmarin.

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektornya, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, manakala UNNES diwakili oleh Rektor universiti berkenaan, Profesor Dr. Fathur Rokhman.

Hadir menyaksikan penandatangan MoU tersebut adalah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor dan pegawai-pegawai utama, UNISSA.

Terdahulu, Dr. Haji Norarfan semasa mengalu-alukan kedatangan delegasi UNNES menyatakan harapan bahawa pemeteraian MoU itu akan dapat meningkatkan lagi hubungan persefahaman khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan antara kedua-dua buah universiti.

UNISSA yang baru berusia 10 tahun sejak penubuhannya, bukanlah satu penghalang dalam berganding bahu untuk memajukan sistem pengajian tinggi malah ini merupakan satu cabaran terhadap UNISSA untuk membuktikan bahawa ia mampu untuk terus bersaing dengan universiti di peringkat antarabangsa, katanya.

Sementara itu, Rektor UNNES dalam ucapnya pula berkata, UNNES mempunyai visi untuk menjadi universiti berwawasan konservasi dan bereputasi antarabangsa memberikan prioriti pada kerjasama peringkat serantau ASEAN.

“UNNES menyambut baik kesempatan daripada UNISSA untuk bekerjasama secara formal. Saya juga amat bersetuju perlunya ada kesefahaman dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan akademik dengan adanya pertukaran mahasiswa atau pertukaran pensyarah dan juga kolaborasi penyelidikan,” ujarnya.

Semasa kunjungan ke UNISSA, Profesor Dr. Fathur Rokhman berkesempatan membentangkan kertas kerja dalam sesi Kuliah Umum antara UNISSA dan UNNES anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU).

Kertas Kerja berjudul ‘The Need of Multicultural Education, Conservation and Mental Revolution’ antara lain mengupas bahawa pendidikan multikulturalisme dapat mencegah konflik sosial dan politik yang mungkin terjadi di Indonesia dan Brunei Darussalam. Nilai konservasi khususnya konservasi karakter juga dapat membantu kita menjadi warga negara dan warga dunia yang lebih baik.

Manakala pembentangan kertas kerja dari pihak UNISSA diwakili oleh pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Profesor Dr. Abdul Mohaimin bin Noordin Ayus, bertajuk Pengenalan kepada Undang-Undang Negara Brunei Darussalam: Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

ARTIKEL YANG SAMA