United belasah Feyenoord

United belasah Feyenoord

PARIS, 25 Nov – Wayne Rooney mengukir nama sebagai penjaring terbanyak pasukannya dalam aksi Eropah ketika mengetuai kemenangan 4-0 Manchester United ke atas Feyenoord dalam Kumpulan A Liga Europa awal pagi tadi sekali gus mencerahkan peluang kemaraan mereka ke pusingan 32 terakhir.

Rooney menghasilkan jaringan pembukaan di Old Trafford untuk gol peribadi ke-39 miliknya di peringkat Eropah, untuk menyamai pencapaian Ruud Van Nistelrooy.

Dia kini hanya kekurangan satu gol daripada menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab yang dipegang Bobby Charlton dengan 249 gol.

Juan Mata dan Jesse Lingard turut meledak pada setiap babak aksi yang menyaksikan Brad Jones menjaringkan gol sendiri.

United kini hanya memerlukan keputusan seri apabila bertandang ke Zorya Luhansk pada aksi terakhir kumpulan.

Pasukan Manchester United meraikan salah satu jaringan mereka dalam perlawanan tersebut. – AFP
Pasukan Manchester United meraikan salah satu jaringan mereka dalam perlawanan tersebut. – AFP

“Ia adalah kemenangan yang hebat. Kami gembira untuk menghasilkan empat gol,” kata Rooney.

“Gol kedua membunuh perlawanan ini. Ketika 1-0 apa-apa saja boleh berlaku.

Ia satu perasaan hebat untuk menjaringkan gol buat kelab ini.

Saya gembira dengannya dan masih banyak yang mampu saya sumbangkan lagi.”

Fenerbahce kini menerajui kumpulan dengan kelebihan satu mata ke atas United selepas menewaskan pasukan Ukraine, Zorya 2-0 di Istanbul dengan gol daripada Miroslav Stoch dan Simon Kjaer.

Dalam aksi lain, Roma mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati sebagai juara Kumpulan E selepas jaringan hatrik Edin Dzeko membantu mereka mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas juara Republik Czech, Viktoria Plzen. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA