United bermula garang

United bermula garang

Oleh Adiman HT

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Zlatan Ibrahimovic membantu Manchester United untuk menewaskan AFC Bournemouth 3-1 apabila menjaringkan satu gol buat pasukannya dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris kelab berkenaan yang berlangsung di Stadium Vitality, Bournemouth, sebentar tadi.

Juan Mata membuka jaringan buat Manchester United pada minit ke-40 separuh masa pertama apabila kecuaian pertahanan Bournemouth membawa padah dan peluang itu tidak dilepaskan olehnya bagi membuka jaringan peribadinya musim ini.

Pada separuh masa kedua, kini tiba giliran kapten pasukan Wayne Rooney menambah jaringan apabila tidak mensia-siakan hantaran lintang Antonio Valencia yang gagal disambut baik oleh Anthony Martial yang kemudian disambut dengan tandukan beliau masuk ke gawang tuan rumah.

Empat minit kemudian bintang terbaru Manchester United, Zlatan Ibrahimovic mendapat peluang menjaringkan gol apabila diberikan kepercayaan membuat sepakan percuma di luar petak penalti, namun sepakan percuma itu dapat ditangkis oleh penjaga gol.

Manchester United bermula garang pada perlawanan pertama musim ini apabila membenam AFC Bournemouth 3-1. – AP
Manchester United bermula garang pada perlawanan pertama musim ini apabila membenam AFC Bournemouth 3-1. – AP

Bagaimanapun, nasib nampaknya berpihak kepada Manchester United apabila tidak lama selepas itu menerima satu lagi peluang dan kali ini tidak disia-siakan oleh Ibrahimovic yang meledak bola ke tepi gawang melepasi penjaga gol tuan rumah bagi kedudukan 3-0.

Tuan rumah hanya mampu melepaskan satu gol ke gawang pasukan lawan melalui jaringan Adam Smith pada minit ke-69 dan keputusan kekal 3-1 hingga ke wisel penamat.

United yang menampilkan beberapa wajah baru kendalian Jose Mourinho nampaknya begitu berbeza dan mungkin berpeluang untuk meraih semula takhta Liga Perdana Inggeris musim ini.

ARTIKEL YANG SAMA