United boleh beli Pedro

United boleh beli Pedro

MANCHESTER, 12 Ogos – Pasukan Manchester United kini mendapat lampu hijau untuk membida Pedro daripada Barcelona selepas kelab Catalan itu mengesahkan, pemain berkenaan memohon untuk berpindah.

United masih belum membuat tawaran rasmi tapi sedia membayar sebanyak 22 juta pound bagi menebus kontrak klausa pemain itu.

Pengesahan mengenai permintaan penyerang yang berjaya membantu Barca memenangi Piala Super UEFA di Tbilisi, Georgia awal pagi tadi itu, diumumkan pengarah sukannya, Robert Fernandez.

“Pedro memberitahu saya dia hendak berpindah. Buat masa ini belum ada sebarang tawaran. Dan tiada tawar menawar klausa kontrak Pedro, tapi ini mungkin aksi terakhir beliau,” kata Fernandez sebelum aksi menentang Sevilla itu.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Pedro yang menjaringkan gol kemenangan 5-4 dalam perlawanan itu berkata: “Ini adalah situasi sukar buat saya. Sudah tentu saya mahu beraksi dalam kesebelasan utama. Saya tidak tahu bila akan berlaku, tapi saya sentiasa menjadi peminat kelab ini (Barca).

“Adakah saya ingin berpindah? Jawapannya tidak, tapi situasi saya adalah sukar. Ia bukan berkaitan wang, sebaliknya lebih kepada kekerapan saya beraksi.”

Pengendali United, Louis van Gaal sebelum ini dilaporkan berkata, pasukannya masih mencari seorang lagi penyerang selepas pemergian Robin van Persie dan Radamel Falcao pada musim panas lalu.

Pedro yang menjadi penyerang gantian Barca di belakang Liones Messi, Neymar dan Luiz Suarez, menjadi sebutan bagi mengisi tempat itu sejak beberapa minggu lalu. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA