United buru Suarez

United buru Suarez

LONDON, 16 Dis (Agensi) – Manchester United yang berdepan masalah pada jentera serangan dilaporkan menjadikan bekas pemain kesayangan Anfield, Luis Suarez sebagai sasaran mereka, musim depan yang dianggap sebagai satu langkah berani.

Akhbar Perancis, BuzzSport melaporkan, Red Devils yang sebelum ini pernah cuba memancing Lionel Messi, Neymar, Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba tetapi menemui kegagalan, kini menghalakan fokus mereka kepada Suarez pula untuk membawa pulang pemain itu ke Liga Perdana Inggeris.

Meskipun penyerang itu sering terjebak dengan masalah disiplin, bintang Uruguay tersebut yang pernah mencipta nama besar bersama Reds berjaya meledakkan 82 gol dalam 133 perlawanan.

Sementara itu, United turut cuba menandatangani Romelu Lukaku pada Januari ini. Media Britain mendakwa Louis van Gaal terdesak untuk mendapatkan khidmat penyerang Everton itu yang kini berada pada prestasi terbaiknya.

Suarez menjadi sasaran United untuk memperkuatkan jentera serangannya musim depan. - Reuters
Suarez menjadi sasaran United untuk memperkuatkan jentera serangannya musim depan. – Reuters

United hanya menjaringkan 10 gol dalam 12 perlawanan terakhir, sementara Lukaku meledakkan 15 gol untuk Toffees, musim ini.

Selain berminat dengan Lukaku, United turut mencari alternatif yang lebih mudah dengan membawa pulang penyerang muda mereka, James Wilson yang kini dipinjamkan ke Brighton.

Klausa perjanjian pinjaman Wilson di Brighton membolehkan United memanggil semula pemain itu pulang ke Old Trafford. Pemain berusia 20 tahun tersebut meledakkan dua gol dalam dua perlawanan sejak meninggalkan United, bulan ini.

Red Devils dibenarkan membawa pulang Wilson pada bila-bila masa bermula Januari tahun depan sehinggalah tarikh akhir pinjamannya iaitu pada penghujung musim ini.