United, Chelsea jauh ketinggalan

United, Chelsea jauh ketinggalan

LONDON, 8 Feb – Keputusan seri kali kedua membabitkan Chelsea dan Manchester United menyaksikan kedua-dua pasukan kini semakin jauh ketinggalan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang tidak dijangka musim ini. Keputusan seri 1-1 di Stamford Bridge awal pagi tadi menyaksikan United kekal di tangga kelima liga dengan jurang enam mata ke slot Liga Juara Juara Eropah musim depan.

Malah persoalan lebih besar mengenai masa depan Louis Van Gaal yang makin tidak menentu meskipun kelab itu menunjukkan persembahan lebih baik berbanding sebelum ini.

Chelsea pula kekal dalam kelompok bawah – tempat ke-13 liga – hampir dengan zon penyingkiran berbanding kebiasaan mereka berada dalam kelompok empat terbaik.

Namun apa yang positif mengenai Chelsea ialah juara bertahan itu tidak pernah tewas sejak di bawah kendalian Guus Hiddink yang menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu.

Bagaimanapun, ketika United di bawah era Sir Alex Ferguson selama 26 tahun, juara liga 20 kali itu terkenal dengan kemampuan menjaringkan gol di saat akhir.

Willian bersaing bersama Cameron dalam perlawanan Chelsea menentang Manchester United di Stamford Bridge. Keputusan seri 1-1 menyaksikan United kekal di tangga kelima liga dan Chelsea pula kekal dalam kelompok bawah - tempat ke-13 liga - hampir dengan zon penyingkiran. – Reuters
Willian bersaing bersama Cameron dalam perlawanan Chelsea menentang Manchester United di Stamford Bridge. Keputusan seri 1-1 menyaksikan United kekal di tangga kelima liga dan Chelsea pula kekal dalam kelompok bawah – tempat ke-13 liga – hampir dengan zon penyingkiran. – Reuters

Dan ketika soalan itu ditanyakan kepada Van Gaal ketika sidang media selepas tamat perlawanan, pengendali Belanda itu tersilap anggapan berhubung situasi bergelut yang dihadapi kelab dengan jolokan The Red Devils itu jika dibandingkan dengan situasi ketika Ferguson mula mengendalikan kelab.

Namun, statistik menunjukkan bahawa United kini semakin jauh untuk merebut tempat ke saingan elit Eropah pada musim depan selain ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Leicester City.

United menunjukkan persembahan yang lebih baik dengan tempo permainan yang lebih pantas selain hantaran yang lebih tepat, namun mereka hanya berjaya memecah kebuntuan selepas sejam perlawanan berlangsung.

“Kami berjaya menunjukkan bola sepak lebih menyerang dan mencipta banyak peluang menentang Chelsea.

“Ia aksi di tempat lawan yang sememangnya sukar. “United tidak menang di sini selama beberapa tahun, jadi sebab itulah perlawanan ini tidak mudah, namun kita berjaya mendahului menerusi gol yang menakjubkan dengan hantaran lintang yang juga menakjubkan.

“Kami sepatutnya dapat mengawal permainan, namun kami melepaskan gol pada minit akhir permainan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengendali Chelsea, Guus Hiddink sebelum ini yakin anak buahnya mampu layak ke saingan Liga Juara Juara musim depan, namun kini dia terpaksa melupakan hasrat itu selepas pasukannya sekadar seri 1-1 menentang Manchester United.

Pengendali baharu bakal mengambil alih tugasnya selepas tempoh kendalian sementaranya di Stamford Bridge berakhir hujung musim ini, namun menurut Hiddink, Chelsea bakal menghadapi saingan liga tanpa aksi Liga Juara-Juara musim depan.

Hiddink juga beranggapan Chelsea pastinya tidak akan dapat menamatkan saingan liga dalam kelompok empat pasukan terbaik sambil menegaskan pasukan dengan jolokan The Blues itu akan berhadapan cabaran besar ketika bertemu pendahulu Ligue 1, Paris St Germain pada aksi 16 terbaik Liga Juara-juara yang berlangsung minggu depan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA