United dekati pentas Eropah

United dekati pentas Eropah

LONDON, 10 Mei (AFP) – Manchester United mendekati kelayakan Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-1 di Crystal Palace semalam, manakala Burnley sah diturunkan ke divisyen rendah dari Liga Perdana.

Juan Mata meletakkan United di hadapan dengan penalti pada minit ke-19, selepas Scott Dann diputuskan telah memegang bola, sebelum Luke mengalami kecederaan di muka dan Wayne Rooney mengalami kecederaan paha terpaksa keluar dari perlawanan. Jason Puncheon menyamakan kedudukan dengan tendangan percuma pada minit ke-57 yang menewaskan Daley Blind, tetapi 12 minit sebelum tamat permainan penjaga gol Palace, Julian Speroni berada di bawah hantaran sayap kiri Ashley Young dan memberi kesempatan kepada Marouane Fellaini untuk menanduk bola dan mencipta gol kemenangan.

“Adalah sangat penting untuk memenangi perlawanan dan itu adalah langkah betul untuk layak bagi Liga Juara-Juara,” pengurus United, Louis van Gaal memberitahu Sky Sports.

“Kami berdepan kecederaan pemain, terpaksa membuat perubahan dan pasukan tidak seimbang dengan Phil Jones berada di kedudukan pertahanan kiri dan Wayne Rooney terpaksa keluar dari perlawanan. Kami telah menunjukkan apa yang boleh dicapai sebagai sebuah pasukan dan telah mencapai kemenangan. Kemenangan itu telah memberikan United tujuh mata mengatasi Liverpool di tempat kelima, yang tidak akan mampu memintas pasukan Van Gaal jika mereka tewas kepada jaguh yang baru dinobatkan, Chelsea hari ini.

Meskipun Liverpool menang di Stamford Bridge, United hanya perlukan tiga mata daripapa dua perlawanan akhirnya di tempat sendiri menentang Arsenal dan di tempat lawan di Hull City untuk mengesahkan kedudukan keempat teratas.

Sementara United telah menamatkan kekalahan ketiga berturut-turut, mereka sekali lagi terhutang budi kepada David de Gea yang telah melakukan dua penyelamatan dekat untuk menghalang Gleen Murray dan gol kemenangan daripada Fellaini.