United gigit jari

United gigit jari

LONDON, 13 Jan (AFP) – Jaringan minit akhir Paul Dummett menafikan peluang Manchester United untuk mengutip tiga mata dan membolehkan Newcastle mengikat pasukan bimbingan Louis van Gaal itu dengan 3-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Wayne Rooney menjaringkan dua gol buat United untuk mendahului 3-2 pada minit ke-79, selepas Georginio Wijnaldum dan Aleksandar Mitrovic memadam kelebihan dua gol yang dimiliki The Red Devils pada separuh masa pertama.

Namun, ketika Louis Van Gaal menjangkakan tiga mata bakal dibawa pulang daripada St James Park, muncul Dummett selaku ‘pemusnah’ sekali gus membuatkan United terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan anak buah Steve Mc Claren itu.

“Walaupun seri, tetapi kami rasa seperti kalah. Kami melepaskan peluang untuk mengutip tiga mata. Saya beritahu pemain saya yang begitu mudah untuk kita menjaringkan enam gol, tetapi kami gagal berbuat demikian,” kata Van Gaal.

Paul Dummett meraikan kejayaan selepas berjaya membolosi gawang Manchester United pada aksi Liga Perdana semalam. – Reuters
Paul Dummett meraikan kejayaan selepas berjaya membolosi gawang Manchester United pada aksi Liga Perdana semalam. – Reuters

United yang kini berada di tangga keenam liga, ketinggalan dua mata daripada kelayakan Liga Juara Juara manakala Newcastle masih berada di zon penyingkiran, namun keputusan perlawanan ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada pemain Newcastle.

Pelawat mendahului permainan menerusi penalti yang disempurnakan Rooney selepas bola terkena tangan Chancel Mbemba dan Rooney mencipta gol kedua buat United apabila hantarannya berjaya disudahkan Jesse Lingard pada minit ke-38.

Namun, Newcastle pantas bangkit merapatkan jurang empat minit kemudian menerusi voli menarik Wijnaldum untuk gol kelapannya musim ini sebelum jaringan Mitrovic mengikat kedudukan 2-2 menerusi sepakan penalti pada minit ke-67.

Rooney sekali lagi cemerlang apabila meletakkan United mendahului pada minit ke-79, namun barisan Van Gaal terpaksa berputih mata selepas rembatan Dummett pada minit ke-90 terkena Smalling dan menerjah gawang yang dikawal David De Gea sekali gus membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan.

ARTIKEL YANG SAMA