United ikat Schwini

United ikat Schwini

LONDON, 12 Julai (AFP) – Bintang Jerman, Bastian Schweinsteiger bersetuju menyertai Manchester United dalam satu pembelian paling hebat yang dilakukan oleh pengurus pasukan, Louis van Gaal.

Difahamkan hubungan baik dengan pengendali dari Belanda itu menjadi faktor utama di sebalik keputusan perancang Bayern Munich itu untuk menerima tawaran kontrak dianggarkan bernilai 7.2 juta pound bagi tempoh tiga tahun, serupa dengan apa diterima daripada kelabnya ketika ini.

Menurut akhbar harian Jerman, Bild, pemain berusia 30 tahun itu memberitahu majikannya hasrat menyertai United dan kini bersedia ke Manchester bagi melengkapkan formaliti menandatangani dokumen perjanjian dan pemeriksaan perubatan.

Sebelum ini, difahamkan semua sudah pun diputuskan antara kedua-dua kelab, yang tinggal hanya membabitkan perbincangan mengenai nilai perpindahan. Bayern difahamkan mahu menjual pemain itu dengan harga 15 juta pound, namun United menolaknya.

Kelab dari Old Trafford itu menyifatkan nilai berkenaan adalah tinggi berbanding dengan usia pemain berkenaan dan tempoh baki kontrak yang hanya tinggal setahun.

Schweinsteiger menyarung jersi Manchester United musim depan. – Reuters
Schweinsteiger menyarung jersi Manchester United musim depan. – Reuters

United sebelum ini sangat berminat mendapatkan perancang berpengalaman itu sejak beberapa minggu lalu. Namun keyakinan mula nampak selepas laporan mengatakan Schweinsteiger menolak tawaran baharu kelabnya untuk sambungan kontrak selama dua tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengesahkan Schweinsteiger akan menyertai Manchester United, musim panas ini. Rummenigge berkata Bayern cuba memujuk kapten kebangsaan Jerman itu untuk kekal di Allianz Arena namun pemain berusia 30 tahun itu berhasrat untuk mencari cabaran baharu.

Sekalipun tidak mendedahkan jumlah yuran perpindahan terbabit, juara Jerman itu dipercayai mahu sekurang-kurangnya 15 juta pound bagi pemain yang sudah beraksi cukup cemerlang bersama kelab itu sejak 17 tahun lalu.