United ke AS, nasib De Gea, Di Maria masih kabur

United ke AS, nasib De Gea, Di Maria masih kabur

LONDON, 14 Julai (Agensi) – Manchester United berangkat untuk program Jelajah Amerika Syarikat, semalam, dengan membawa bersama pemain baharu bernilai 80 juta pound tatkala masa depan David de Gea dan Angel di Maria masih belum menentu.

United sudah pun berjaya menyelesaikan proses pemeriksaan perubatan ke atas Bastian Schweinsteiger dan Morgan Schneiderlin, bagi membolehkan dua perancang hebat itu menyertai pasukan mereka ke Seattle, tengahari semalam.

Pengendali pasukan, Louis van Gaal percaya, Schweinsteiger selaku veteran Jerman yang diikat dengan nilai 15 juta pound adalah pemain paling layak untuk mengukuhkan bahagian tengah United.

Schneiderlin yang juga pemain Perancis pula, tiba dari Souhthampton dengan harga 24 juta pound adalah dikatakan sebagai antara perancang paling hebat di Eropah ketika ini.

Dengan United sudah pun melabur ke atas pemain Belanda, Memphis Depay dan pertahanan Itali, Matteo Darmian, skuad Van Gaal dilihat lebih kukuh, berbanding ketika dia tiba setahun lalu.

Masa depan Di Maria di Manchester United masih belum menentu. – Reuters
Masa depan Di Maria di Manchester United masih belum menentu. – Reuters

Pun begitu, masih ada kekeliruan berhubung kedudukan De Gea dan Di Maria. De Gea yang menyertai kelab United ke AS – di mana mereka akan bermain empat perlawanan – setakat ini belum ada menerima bidaan daripada kelab La Liga, Real Madrid.

Tanpa sebarang alasan bagi menjelaskannya, penolongnya di gawang, Victor Valdes tidak bersama skuad berkenaan ke AS, sekali gus bermakna De Gea bakal beraksi sepenuhnya dalam jelajah itu.

Di Maria, pula dijangka masih menunggu bidaan Paris Sain-Germain dalam tempoh beberapa hari ini, dan kelab dari Perancis itu dilihat memiliki peluang cerah berikutan pemain berkenaan tidak gembira tinggal di England.

Difahamkan pemain Argentina berusia 27 tahun itu dan isterinya, masih belum dapat serasi dengan kehidupan mereka di sini dan hendak berpindah.

Di Maria difahamkan berminat untuk kembali ke Real Madrid, namun sama ada dia akan ditawarkan untuk kelab yang menjualnya setahun lalu, terus menimbulkan tanda tanya.

Van Gaal sehingga saat ini masih lagi memburu penyerang dan benteng tengah yang baharu. Dia dikatakan berminat dengan Robert Lewandowski dari Bayern Munich.