United ke separuh akhir

United ke separuh akhir

LONDON, 14 April (AFP) – Penyerang remaja sensasi Manchester United, Marcus Rashford terus meledak gol cantik ketika membantu kelab itu menewaskan West Ham United 2-1 pada pertembungan suku akhir ulangan Piala FA, semalam.

Kemenangan itu jelas menghampakan West Ham yang beraksi di laman sendiri, Boleyn Ground selepas berjaya mengikat United 1-1 di Old Trafford, bulan lalu.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Rashford yang baru berusia 18 tahun membuka tirai jaringan buat United pada minit ke-54 yang juga gol keenamnya musim ini.

Pemain tengah, Marouane Fellaini menjadikan kedudukan 2-0 buat United pada minit ke-67 sebelum West Ham merapatkan jurang menerusi gol James Tomkins pada minit ke-79.

Bagaimanapun, tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan dengan West Ham yang meledak tiga gol ketika bertemu Arsenal, minggu lalu terus buntu dengan United turut dibantu persembahan cemerlang penjaga golnya, David de Gea.

Pemain Man United, Marcus Rashford (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan semasa menentang West Ham dalam aksi suku akhir Piala FA di stadium Bolyen Ground, London semalam. – AFP
Pemain Man United, Marcus Rashford (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan semasa menentang West Ham dalam aksi suku akhir Piala FA di stadium Bolyen Ground, London semalam. – AFP

Pada perlawanan itu, penyerang utama United, Wayne Rooney kembali beraksi selepas tersisih lebih dua bulan akibat kecederaan menggantikan Rashford pada minit-minit terakhir permainan.

Selepas dikritik hebat sejak beberapa bulan lalu berikutan prestasi kurang meyakinkan United, Van Gaal kini berpeluang cerah untuk menamatkan kempen musim ini dengan kejayaan menjulang Piala FA.

Kali terakhir United menjuarai trofi itu pada 2004 dengan kejayaan menjulangnya nanti pasti menjadi alasan terbaik untuknya kekal di Old Trafford.

Pada pertembungan separuh akhir, United dijadual bertemu Everton di Wembley pada 23 April ini, manakala satu lagi perhitungan membabitkan Crystal Palace menentang Watford.