United kian jadikan Pogba hampiri rekod dunia

United kian jadikan Pogba hampiri rekod dunia

LONDON, 3 Julai – Manchester United semakin hampir menjadikan Paul Pogba sebagai pemain bola sepak pertama bernilai STG100 juta dengan memberitahu kelabnya, Juventus, betapa mereka sedia membayar yuran perpindahan rekod dengan dunia untuk bintang Perancis berusia 23 tahun itu.

Empat tahun selepas kehilangan pemain itu tanpa sebarang hasil, United kini bersedia berbelanja untuk pengurus baharu mereka, Jose Mourinho yang akan diperkenalkan di depan media dunia pada Selasa ini.

Keluarga Glazer terdesak untuk memulihkan reputasi The Red Devils sebagai kelab yang paling popular di Eropah apabila terlepas Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Mereka sudah menandatangani penyerang legenda, Zlatan Ibrahimovic yang tamat kontrak bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan bersetuju dengan perjanjian STG65 juta untuk Mourinho menandatangani pemain pertahanan, Eric Bailly serta pemain tengah Borussia Dortmund, Henrikh Mkhitaryan.

Paul Pogba kian hampiri rekod dunia sebagai pemain bola sepak pertama bernilai STG100 juta bersama Manchester United. - AFP
Paul Pogba kian hampiri rekod dunia sebagai pemain bola sepak pertama bernilai STG100 juta bersama Manchester United. – AFP

Juventus sudah menuntut jumlah sembilan angka bagi ayam tambatan mereka itu yang menakutkan pesaing United iaitu Real Madrid, PSG dan Manchester City.

Tetapi kelab Old Trafford berkenaan yang tidak terjejas dengan peraturan fairplay kewangan kerana pendapatan komersial besar mereka – bersedia membayar harga yang akan memecahkan rekod STG86 juta yang dibayar Real Madrid untuk Gareth Bale pada 2013, dan membayar Pogba STG250,000 seminggu.

Bapa Pogba sudah menyatakan anaknya mahu bermain dalam liga yang lebih baik daripada Serie A dan ejen, Mino Raiola yang juga mewakili Ibrahimovic, cuba untuk berunding berkaitan perjanjian itu.

“Paul sudah semakin berkembang. Dia di Juventus sekarang, jadi apa saja perpindahan perlu berjalan melalui Juventus,” kata Raiola. – Agensi