United, Leverkusen lepasi peringkat play-off

United, Leverkusen lepasi peringkat play-off

BRUGES, Belgium, 27 Ogos (AFP) – Hatrik Wayne Rooney melonjakkan kedudukan Manchester United untuk kembali bersaing dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara hasil kemenangan 4-0, agregat 7-1 ketika play-off peringkat kedua di Club Brugge manakala Lazio kecundang 3-0 di Bayer Leverkusen, semalam.

Hatrik Rooney ternyata begitu bermakna pada saat prestasi terbaik pemain itu kembali muncul selepas kemarau gol dalam 10 perlawanan sebelum sepak mula aksi play-off berkenaan.

United yang tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara musim lalu bakal mengetahui pencabar mereka di peringkat kumpulan apabila undian diadakan di Monaco hari ini.

“Peluang beraksi dalam peringkat kumpulan selepas tersingkir pada tahun lalu adalah keputusan yang baik. Kami menanti proses undian esok.

“Memang tahun lalu adalah kekecewaan terbesar apabila gagal beraksi. Kami tidak sangka dapat laluan selesa tapi penting bagi kami untuk melayakkan diri.

Rooney menjaringkan gol ketiga Manchester United sekali gus melengkapkan hatriknya dalam aksi play-off Liga Juara-Juara menentang Club Brugge di Stadium Jan Breydel di Bruges semalam. - Reuters
Rooney menjaringkan gol ketiga Manchester United sekali gus melengkapkan hatriknya dalam aksi play-off Liga Juara-Juara menentang Club Brugge di Stadium Jan Breydel di Bruges semalam. – Reuters

“Selepas mengharungi dua peringkat kami berhak layak. Kami gembira dalam beraksi dan seronok dapat bersaing sekali lagi,” kata Rooney.

Di Jerman, Lazio yang bertandang ke Bayer Leverkusen dengan harapan untuk mempertahankan kelebihan satu gol dan mara ke peringkat kumpulan buat kali pertama sejak musim 2007/08.

Bagaimanapun kelab Itali itu ketinggalan selepas gol dari Hakan Calhanoglu (40) dan Admir Mehmedi (48) dan kemudiannya berhempas pulas dalam 20 minit terakhir dengan 10 orang selepas pemain import Brazil, Maurício dibuang padang kerana kad kuning kedua.

Karim Bellarabi mengukuhkan cengkaman kelab Jerman itu apabila menyumbat masuk gol pada dua minit sebelum wisel penamat.

ARTIKEL YANG SAMA