United mara, Lukaku akhiri kemarau gol

MANCHESTER, 6 Dis – Jaringan daripada pemain penyerang duo Manchester United, Romelu Lukaku dan Marcus Rashford membantu United menewaskan CSKA Moscow dalam perlawanan awal pagi tadi, sekali gus menempah slot ke 16 terakhir buat pertama kali sejak 2013-2014.

Jaringan kontroversi Vitinho memberikan CSKA jaringan awal dalam separuh masa kedua, tetapi jaringan Lukaku dan Rashford dalam masa dua minit membawa pasukan Mourinho layak ke peringkat seterusnya sebagai juara Kumpulan A.

Selepas menewaskan Arsenal 3-1 pada Sabtu lalu, kemenangan di Old Trafford menaikkan semangat United menjelang perlawanan terbesar menentang musuh ketat, yang juga pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

“Saya gembira kerana kami tidak mahu melayakkan diri dengan kekalahan, kami tidak mahu layak dengan persembahan yang buruk,” beritahu Mourinho. “Jadi tujuan utama adalah bermain dengan baik dan cuba untuk memperolehi keputusan yang positif. Saya rasa kami melakukannya dengan sangat baik,” jelasnya lagi.

Dalam misi untuk mengelakkan kekalahan, United melanjutkan rekod tanpa kalah dalam 40 perlawanan di laman sendiri, kali terakhir United mengalami kekalahan di Old Trafford semasa menentang City pada September tahun lepas yang menyaksikan United tewas 2-1.

Romelu Lukaku menjaringkan gol pertama buat United sambil diasak oleh pertahan CSKA Moscow, Viktor Vasin dalam perlawanan Kumpulan A di Old Trafford, awal pagi semalam. – AFP

Sementara itu, Basel juga layak ke peringkat seterusnya selepas menewaskan Benfica di tempat lawan, secara automatik CSKA menempah slot dalam peringkat kalah mati di Liga Eropah.

Dalam perlawanan tersebut, Mourinho telah membuat enam pertukaran dan menyaksikan penampilan yang jarang sekali berlaku, Luke Shaw berada dalam kesebelasan utama United. Shaw membuat penampilan pertama sejak April dan bermain dengan baik, hampir menjaringkan gol dengan rembatan kaki kiri namun penjaga gol Akinfeev berjaya menepis.

Mourinho juga memberi peluang kepada pemain muda yang sekarang meningkat naik, Scott McTominay dan Axel Tuanzebe.

“Kami mengakhiri pertandingan ini menduduki tempat ketiga, itu bukan keputusan yang buruk dan bertarung sehingga akhir perlawanan bukan sesuatu yang buruk,” beritahu jurulatih CSKA Viktor Goncharenko.

Dalam perkembangan lain, Mourinho menempelak Pep Guardiola dan Arsene Wenger bahawa dia akan memberitahu ‘perkara yang sebenar’ tentang kecergasan pemainnya. Jurulatih dari Portugal itu juga menegaskan Guardiola tidak bercakap benar mengenai kecergasan David Silva dan menyelitkan Wenger juga melakukan perkara yang sama dengan Alexandre Lacazette. – AFP