United masih kelab impian

United masih kelab impian

LONDON, 16 Mac (Reuters) – Manchester United bukan lagi pesaing yang digeruni musuh dalam Liga Perdana tetapi masih menjadi kelab impian bagi pemain terbaik dunia untuk sertai, menurut bekas pemain pertahanan, Gary Pallister.

Pasukan Old Trafford mengalami kejatuhan sejak pengurusnya, Alex Ferguson bersara pada 2013 dengan pasukan paling berjaya di England itu kini tidak pasti sama ada dapat menamatkan saingan musim ini di kelompok empat terbaik.

Dengan pendapatan yang sering dicemburui hampir setiap kelab di dunia, United sering mendapatkan nama besar, dan biarpun sudah dua musim tidak menyertai Liga Juara-Juara, Pallister percaya perkara itu tidak akan menggoyahkan kuasa tarikan itu.

“Nama Manchester United dan mendapatkan peluang bermain buat mereka, mendapat tumpuan seluruh dunia,” katanya.

“Lihat sekitar tempat ini, stadium, tempat latihan, tradisi dan semua sejarah, pemain mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa.

“Sebilangan mungkin berfikir untuk kali kedua kerana tidak ada Liga Juara-Juara tetapi kebanyakan daripada mereka berfikir ia adalah sukar menolak peluang untuk muncul sebagai legenda di sini.”

Pallister yang menyertai United daripada Middlesbrough pada 1989 dengan rekod perpindahan tertinggi bagi pemain pertahanan sebelum menjulang empat gelaran Liga Perdana, berkata United masih mencatatkan kenangan tidak boleh dilupakan menerusi kempen mengecewakan.

“Berada dalam kelompok empat terbaik sering menjadi pencapaian minimum,” katanya.

“Ia adalah tugasan yang sukar tetapi kami perlu bermain menentang Manchester City (hujung minggu ini), West Ham, Spurs. United masih bertarung dan anda boleh katakan ia masih dalam jangkauan kami.”