United menang, Rooney capai rekod Charlton

LONDON, 8 Jan – Wayne Rooney menyamai rekod jaringan legenda Manchester United, Bobby Charlton apabila juara Piala FA itu melangkah ke pusingan keempat dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Reading kelmarin.

Rooney telah menjaringkan golnya yang ke-249 untuk United dalam perlawanan yang turut dihadiri oleh Charton ketika skuad Jose Mourinho meraih kemenangan, tetapi Arsenal perli bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas pasukan peringkat kedua, Preston north End.

“Ia adalah saat yang membanggakan, untuk melakukannya dengan kelab besar seperti Manchester United,” kata Rooney, 31, selepas menyamai rekod Charlton dalam penampilannya ke-543 bersama United.

“Berada di atas sana kerana mempunyai rekod jaringan yang sama dengan Sir Bobby adalah saktu penghormatan yang besar. Saya harap dapat berada di atas sana seorang diri nanti.”

Ia terbukti satu kepulangan yang sedih bagi pengurus Reading, Jaap Stam ke Old Trafford, yang merupakan bekas pertahanan tengah United.

Chris Smalling (tengah) dikepung oleh dua pemain Reading dalam aksi Piala FA Inggeris pusingan ketiga di Old Trafford. - AP
Chris Smalling (tengah) dikepung oleh dua pemain Reading dalam aksi Piala FA Inggeris pusingan ketiga di Old Trafford. – AP

Rooney memecahkan kebuntuan di minit ketujuh apabila dia menggunakan lutut kanannya untuk menyambut hantaran lintang Juan Mata bagi menewaskan penjaga gol Reading, Ali Al Habsi.

Dia kemudian membantu bagi jaringan kedua United pada minit ke-15 apabila bermain hantaran 1-2 dengan Anthony Martial, yang membuat penyudah tenang pada sudut bawah kanan gawang.

Marcus Rashford memastikan kemenangan milik United dengan dua jaringannya dalam 20 minit sebelum perlawanan tamat.

United, yang akan menerima kunjungan Hull City bagi perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga pada hari Rabu depan, telah memenangi lapan perlawanan berturut-turut buat pertama kali sejak 2009. – AFP